Nama Guan Eng hanya timbul buat pertama kali selepas lebih setahun

Nama Guan Eng hanya timbul buat pertama kali selepas lebih setahun

LIM Guan Eng hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang. UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes terowong dasar laut Pulau Pinang diberitahu, nama Lim Guan Eng timbul kali pertama selepas lebih setahun ahli perniagaan Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Zarul Ahmad, 65, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini semalam, nama bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu hanya didedahkan kepada SPRM ketika beliau disiasat pada 9 Disember 2019 berhubung kes melibatkan ahli perniagaan, G. Gnanaraja.

Beliau ketika itu Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB) iaitu syarikat yang dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Menurut saksi pendakwaan ke-23 (SP23) itu, ketika memberi keterangan kepada SPRM pada 19 dan 20 Januari, 9 Mac serta 5 September 2018, nama Guan Eng tidak dinyatakan.

Dalam keempat-empat sesi siasatan itu, saksi utama pendakwaan tersebut menyatakan wang RM19 juta diserahkan kepada Gnanaraja untuk diserahkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sewaktu disoal oleh peguam R.S.N. Rayer yang mewakili Guan Eng, saksi berkata, nama Pengerusi DAP itu disebut pada 9 Disember 2019 selepas membaca pernyataan saksi milik ‘Ibrahim’ (Ibrahim Sahari ketika itu Pengarah CZCSB) dalam satu kes berlainan di Shah Alam.

Zarul Ahmad memberi keterangan sewaktu prosiding mencabar kredibilitinya sebagai saksi dalam perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang terhadap Guan Eng yang bernilai RM6.3 bilion.

Mahkamah akan menentukan sama ada wujud percanggahan pernyataannya ketika siasatan kes Gnanaraja di Shah Alam dengan keterangannya ketika menjadi saksi kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ahli perniagaan tersebut selanjutnya berkata, ketika itu (9 Disember 2019) beliau dipanggil semula oleh pihak SPRM selepas kali terakhir memberi keterangan pada 5 September 2018.

Ujar Zarul Ahmad, sepanjang disiasat bermula Januari hingga September 2018, beliau hanya menyebut nama Gnanaraja dan Najib dan langsung tidak menyatakan nama Guan Eng kepada SPRM.

Saksi mengaku berada dalam keadaan tidak tenteram kerana khuatir ditangkap semula selepas menjalani tahanan reman selama 11 hari bagi siasatan kes terowong.

Ahli perniagaan itu turut mengaku berada dalam tekanan termasuk urusan perniagaan yang tidak menentu selain penyakit kegelisahan yang dihadapinya.

“Selepas sesi terakhir pada 5 September 2018 (sebelum dipanggil semula lebih setahun kemudian), saya tidak keluar rumah selama dua bulan kerana tertekan dan mengalami kegelisahan.

“Sesi memberi keterangan pada hari pertama (19 Januari 2018) berlangsung hampir tiga jam dan berlarutan sehingga 14 jam pada 20 Januari 2018,” ujar beliau.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu sedang dibicarakan atas pertuduhan menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN