Isteri Daim, Na'imah  mohon rujuk persoalan undang-undang di Mahkamah Tinggi - Utusan Malaysia

Isteri Daim, Na’imah  mohon rujuk persoalan undang-undang di Mahkamah Tinggi

NA`IMAH Khalid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Toh Puan Na’imah Khalid  memfailkan notis usul untuk merujuk beberapa persoalan undang-undang berhubung kesahihan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya kerana gagal mengisytiharkan aset.

Notis usul itu difailkan melalui firma guaman, Tetuan Raj & Sach, 29 Februari lalu di Mahkamah Sesyen di sini dengan menamakan pendakwa raya selaku responden.

Menurut notis usul tersebut, Na’imah memohon Mahkamah Sesyen memberikan suatu perintah untuk merujuk kepada Mahkamah Tinggi, soalan berkenaan kesan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan itu adalah sama ada Seksyen 30(5) dan 36(2) Akta SPRM 2009 yang dipertuduhkan terhadapnya  melanggar hak seseorang untuk dilindungi daripada membabitkan diri dengan suatu kesalahan dan hak untuk tidak dipaksa memberikan keterangan dalam suatu kesalahan yang akan digunakan dalam suatu prosiding terhadapnya serta hak dirinya untuk suatu perbicaraan adil.

Pemohon juga memohon mahkamah menentukan sama ada kedua-dua seksyen tersebut melanggar Fasal 5 (kebebasan diri) dan 8 (perlindungan sama rata di sisi undang-undang) Perlembagaan Persekutuan, dan seterusnya menjadikannya tidak berperlembagaan dan terbatal.

DITANGGUHKAN

Na’imah turut memohon perintah supaya prosiding di Mahkamah Sesyen berhubung pertuduhan terhadapnya ditangguhkan sehingga permohonan rujukan itu didengar dan diputuskan dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 23 Januari lalu, Na’imah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan  gagal mengisytiharkan 12 harta seperti yang dikehendaki Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Disember 2023.

Harta-harta itu melibatkan dua buah syarikat Ilham Tower Sdn. Bhd. dan Ilham Baru Sdn. Bhd. serta dua kenderaan mewah Mercedez Benz. Selain itu, lapan hartanah didakwa turut gagal diisytiharkan iaitu Menara Ilham di Jalan Binjai di sini, kediaman di Persiaran Bukit Tunku serta tanah dan bangunan berstatus pegangan bebas di Bukit Tunku, Pulau Pinang dan Taman Tun Dr. Ismail.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Kes itu akan disebut semula di Mahkamah Sesyen di sini pada 22 Mac ini.

SPRM telah memulakan siasatan terhadap keluarga Daim sejak Februari 2023 lalu rentetan  pendedahan Kertas Pandora. Pada 10 Januari lalu, Nai’mah dan dua anak lelakinya hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan serta membantu siasatan agensi itu terhadap Daim.

Kertas Pandora merupakan himpunan 11.9 juta dokumen yang dikumpul oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (International Consortium of Investigative Journalists, ICIJ) yang mengandungi maklumat perbankan, cukai dan maklumat hartanah membabitkan pemimpin-pemimpin dunia, jutawan, ahli perniagaan dan selebriti. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN