MUDA bangunkan sistem khas untuk rejuvenasi parti

MUDA bangunkan sistem khas untuk rejuvenasi parti

AMIRA Aisya Abd. Aziz (dua dari kanan) sempat bertemu dan berbual mesra dengan wakil kepimpinan mahasiswa pada sidang akhbar Jelajah Pemangku Presiden MUDA di Kota Bharu, Kelantan semalam. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sedang membangunkan satu sistem khas sebagai langkah rejuvenasi parti berkenaan supaya kukuh mendepani cabaran dalam arena politik tempatan.

Pemangku Presidennya, Amira Aisya Abd. Aziz berkata, sistem itu nanti akan memudahkan pendaftaran keahlian bahkan yang merangkumi segala keperluan organisasi dan ahli termasuk untuk memberi komen serta menerima maklumat dan memo dalaman.

“Setakat ini belum ada nama khas bagi sistem tersebut dan perkara itu akan diumumkan kemudian. Kita tidak ‘claim’ ia sebagai sistem paling moden tetapi mengharapkan ia menjadi satu sistem paling menyeluruh dalam arena politik tanah air.

“Harapan kita adalah sistem ini dapat memudahkan ahli dalam perkara-perkara berkaitan parti termasuk pendaftaran keahlian, menyemak apa-apa keputusan parti dan membuat undian untuk kelulusan sebarang polisi,” katanya pada sidang akhbar sempena siri Jelajah Pemangku Presiden MUDA, di sini malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu memberitahu, mengikut perbincangan akhir bersama syarikat pembangun, sistem berkenaan dijangka akan dilengkapkan pada penghujung bulan ini atau awal April.

Katanya, pelancaran sistem ini akan disempurnakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Usaha ini melalui satu proses agak panjang yang mana kita buka tender dalaman parti untuk memilih syarikat pembagun sistem berkenaan. Kita turut membawa pihak ketiga, iaitu pakar dari Google untuk bersama-sama dalam proses menilai tender.

“Dalam memperkatakan aspek ketelusan pemberian tender terbuka oleh kerajaan, kita patut bermula dengan parti sendiri. Kerana itu kita buka tender dalaman parti.

“Kita mahu memastikan sistem itu sendiri betul-betul telus dan mahu orang ramai melihat kita benar-benar serius apabila bercerita mengenai ketelusan pengurusan kewangan kerajaan,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN