PORT DICKSON: Seorang bekas tukang sapu dipenjara lima tahun dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Majistret Port Dickson selepas mengaku salah atas pertuduhan pilihan, iaitu memandu sehingga menyebabkan kematian dalam satu kejadian, hampir dua tahun lalu.
Majistret Uthman Abd. Ghani menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh, G. Khishen Kumar, 23, membuat pengakuan itu sebaik sahaja .pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Hukuman tersebut ditetapkan dari tarikh tuduhan pertama dibacakan pada 5 April tahun lalu di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu kenderaan di bawah pengaruh minuman memabukkan sehingga menyebabkan kematian ke atas penunggang motosikal warga emas.
Majistret turut menetapkan enam bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan dan lesen memandu digantung selama lima tahun.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh memandu kenderaan di atas jalan raya dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian ke atas seorang warga emas.
Kesalahan itu dilakukan pada 29 Jun 2022, kira-kira pukul 10.25 malam di Kilometer 5 Jalan Seremban.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan.
Terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada sebuah stesen minyak dan hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada tertuduh yang memandu kenderaan secara laju dan melulu akibat di bawah pengaruh alkohol lalu melanggar bahagian belakang motosikal tersebut. – UTUSAN.










