PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan akan terus memperketakan di kawasan perairan negara di negeri ini sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi menerusi sistem cuti bergilir-gilir dalam kalangan anggota pasukan itu.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim negeri Komander Maritim Amiludin Yenggah berkata, anggota diberikan kebenaran untuk pilihan sama ada bercuti sebelum atau selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Bagi kita (Maritim Malaysia Kelantan) tiada isitilah beku cuti dalam kalangan anggota. Kita benarkan cuti secara bergilir-gilir.
“Walaupun musim perayaan, penguasan dan operasi di perairan negara tetap berjalan seperti biasa,” katanya kepada pemberita pada Program Liputan Media Bersama Maritim Kelantan sempena Ramadan di perairan Kelantan pada Jumaat.
Amiludin memberitahu, hal ini kerana pihaknya mahu keselamatan perairan negara berada pada tahap terbaik.
Dalam perkembangan lain, Amiludin berkata, sepanjang Januari hingga Mac pihaknya berjaya merekodkan kejayaan tangkapan berjumlah RM6.5 juta.
Katanya, kejayaan itu hadir menerusi 29 tangkapan melibatkan pencerobohan nelayan asing, bahan api subsidi iaitu diesel dan penyalahgunaan dadah.-UTUSAN









