PETALING JAYA : Laporan beberapa portal berita dalam talian mengenai seorang penerbit filem Tamil iaitu Jaffer Sadiq yang ditahan di India mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan dadah antarabangsa termasuk Malaysia adalah tidak tepat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, risikan pihaknya setakat ini mendapati dakwaan portal tersebut tidak tepat kerana tiada sebarang maklumat tentang penglibatan Sadiq dengan mana-mana individu warganegara Malaysia dalam aktiviti pengedaran dadah di Malaysia.
Portal tersebut juga mendakwa aktiviti didalangi lelaki berkenaan juga diketuai oleh seorang warganegara Malaysia yang terlibat dalam industri perfileman Tamil.
“Walau bagaimanapun, JSJN akan terus menjalankan risikan lanjut berkaitan perkara ini dalam mengekang aktiviti pengedaran dadah di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan kepada Utusan Malaysia, hasil semakan pangkalan data JSJN, Bukit Aman mendapati, penama yang dilaporkan portal berkenaan yang ditahan oleh Lembaga Kawalan Narkotik (NCB) India pada Sabtu tidak berada dalam mana-mana maklumat pengedaran dadah di dalam negara ini.
Bagaimanapun, JSJN sedang mendapatkan maklumat dari pihak Pegawai Perhubungan Keselamatan (SLO) India berkait penglibatan penama ini di Malaysia seperti yg didakwa dalam portal berita dalam talian itu
Razarudin berkata, buat masa ini, JSJN tiada sebarang hubungan bilateral dengan Biro Kawalan Narkotik, India dan sebarang komunikasi dijalankan melalui Polis Antarabangsa (Interpol) dan Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA), Amerika Syarikat.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan media India mendakwa bos kepada ‘raja dadah India’ merupakan seorang pengedar filem warga Malaysia yang mempunyai hubungan rapat dengan selebriti industri filem Tamil dan sedang berada di negara ini.
Ini selepas penerbit filem Tamil, Jaffer Sadiq, yang didakwa mempunyai kaitan dengan penyeludupan dadah antarabangsa bernilai RM1.13 bilion ditahan oleh Lembaga Kawalan Narkotik (NCB) India pada Sabtu lalu.
Dakwaan itu dibuat oleh wartawan kanan dan pemilik media Savukku, A. Shankar dalam satu wawancara di YouTube.
Bagaimanapun, Shankar yang terkenal dengan kewartawanan penyiasatan tidak mendedahkan nama individu tersebut. – UTUSAN










