SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban hari ini membenarkan permohonan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk membatalkan saman pemula oleh seorang wanita berusia 46 tahun untuk satu pengisytiharan bahawa dirinya bukan seorang yang beragama Islam.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas meneliti segala notis, afidavit berserta hujahan bertulis yang telah difailkan oleh pihak responden iaitu MAINS.
Pada 23 Mac tahun lalu, plaintif yang merupakan seorang ahli perniagaan telah menfailkan saman pemula terhadap tiga pihak iaitu kerajaan Malaysia, MAINS dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai responden pertama hingga ketiga.
Menerusi saman pemula itu, plaintif turut memohon responden ketiga mengubah serta mengemas kini rekod-rekod serta maklumat peribadi dirinya kepada agama bukan Islam di dalam sistem pendaftaran responden ketiga.
Selain itu, plantif turut memohon namanya ditukar serta merta nama Melayunya kepada nama wanita India.
Antara alasan yang diberikan adalah pemohon merupakan kanak-kanak di bawah umur ketika agama pemohon ditukar daripada Hindu kepada agama Islam oleh bapa pemohon.
Pemohon juga mengatakan tidak pernah mengucapkan kalimah Syahadah selain tidak pernah mengamalkan ajaran Islam.
MAINS kemudiannya telah membuat permohonan untuk membatalkan saman pemula berkenaan pada 28 Jun tahun lalu dengan beberapa alasan antaranya plaintif adalah seorang yang beragama Islam dan sekiranya mahu keluar dari agama Islam, permohonan perlulah dilakukan di Mahkamah Syariah dan bukannya di Mahkamah Sivil.
Bukti turut dikemukakan bahawa wanita itu sebelum ini telah berkahwin dan bercerai di Mahkamah Syariah Selangor dan juga telah memohon untuk keluar dari agama Islam di mahkamah yang sama namun ditolak oleh mahkamah tersebut kerana pemohon bermastautin di Negeri Sembilan dan bukannya Selangor.
Dalam prosiding hari ini MAINS diwakili oleh Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Danial Farhan Zainul Rijal dan Muhammad Hariz Md Yusoff manakala kerajaan Malaysia dan JPN diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Amalina Zainal Mokhtar.
Plaintif diwakili oleh peguam, S. Karthigesan.-UTUSAN.










