ALOR SETAR: Pertama kali berpuasa tanpa ibu bapa nyata mengundang kesunyian dan kerinduan yang teramat untuk lima beradik yang kehilangan orang kesayangan mereka itu pada Januari lepas akibat kemalangan jalan raya.
Menurut anak sulung lima beradik itu, Fatin Hanani Mohd. Norzianal, 23, Ramadan dan Syawal tahun ini sangat menguji mereka yang yatim piatu sekelip mata namun tetap reda dengan ketentuan Allah itu.
Lebih menghiris hatinya termasuk adik-beradiknya, Aida Batrisya, 17, Alya Batrisya, 16, Adlin Irfan, 15, dan Adib Iman, 6, mereka masih menetap di rumah ibu bapa mereka di Taman Pahlawan, Sungai Petani sekaligus ‘menjemput’ memori bersama arwah pada bulan mulia ini.
“Kami terasa sunyi di rumah kerana mak dan ayah sudah tiada. Ramadan ini kali pertama berpuasa tanpa mereka, jadi sangat sunyi di rumah. Tak ada lagi suasana mak kejutkan kami setiap kali bersahur atau buat juadah berbuka.
“Apa yang kami paling rindu adalah juadah berbuka dengan nasi ayam mak. Rindu nasi ayam mak masak. Nasi ayam mak ini makanan kegemaran kami satu keluarga. Kami juga rindu suasana tarawih sama-sama,” katanya pada majlis Wakalah Agihan Zakat Perniagaan E-Idaman dan Irdeco Group di Dewan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di sini semalam.
Lima beradik tersebut merupakan satu daripada 123 keluarga yang menerima bantuan berupa wang tunai dan bekalan makanan sempena Ramadan ini.
Fatin Hanani yang menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, mereka kini dijaga oleh datuk yang menetap tidak jauh dari taman perumahan tersebut dan bergantung hidup dengan wang simpanan arwah ibu bapa selain bantuan Perkeso dan zakat.
Menurutnya, mereka juga membuat keputusan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri ini secara ala kadar sahaja kerana masih bersedih dengan kehilangan ibu bapa.
Ibu bapa mereka, Mohd Norzianal Mohd Ainol, 46, dan isterinya, Suhana Othman, 43, maut selepas motosikal dinaiki terbabas sebelum merempuh tiang elektrik ketika cuba mengelak seekor babi hutan yang melintas di jalan berdekatan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada 11 Januari lepas.
Terdahulu, program Ramadan Kita Kedah anjuran bersama LZNK, Pertubuhan Kebajikan Irdeco (Deco Care) dan Kelab Media Elit Kedah (KMEK) itu menyaksikan E-Idaman menyumbang sebanyak RM27,000 berserta kuih raya untuk semua penerima.
Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman, Zaki Abdul Aziz Daud berkata, program itu sebahagian tanggungjawab sosial syarikat (CSR) untuk mengurangkan beban serta membawa keceriaan kepada mereka yang kurang berkemampuan ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri.











