Lelaki ditahan bersama 20,000 biji pil yaba

Lelaki ditahan bersama 20,000 biji pil yaba

MUHAMAD Zaki Harun (dua kanan) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 20,000 biji pil yaba dalam serbuan di parkir hadapan Kompleks Kota Darulnaim di sini kelmarin.

Penahanan suspek berusia 28 tahun itu dilakukan pada pukul 5 petang oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa anggota bertugas menghampiri suspek, dia bertindak melarikan diri.

Menurutnya, bagaimanapun tindakan itu gagal selepas anggota bertugas berjaya menahan suspek.

“Pemeriksaan yang dijalankan ke atas beg berwarna kuning telah menjumpai 18,000 biji pil yaba.

“Hasil soal siasat lanjut yang dijalankan, polis telah melakukan pemeriksaan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bunohan, Tumpat dan menjumpai 2,000 biji pil yaba,” katanya kepada pemberita di IPK Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM137,500.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan seramai 20,000 orang penagih boleh menggunakan dadah tersebut jika terlepas ke pasaran.

“Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Pada masa sama kita turut menyita motosikal jenis Honda Future yang digunakan oleh suspek,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×