GUA MUSANG: Lebih 30, 000 jemaah dijangka hadir ke Masjid Razaleigh mirip model Masjidil Haram di Bandar Lama di sini untuk solat sunat tarawih sepanjang Ramadan tahun ini.
Pembantu Hal Ehwal Islam Masjid Razaleigh, Mohamad Hazakrurizan Hanipa berkata, bagi memberikan keselesaan kepada jemaah para petugas telah melakukan persiapan dengan membersihkan ruangan dalam dan luar masjid.
Menurutnya, kira-kira RM100,000 diperuntukkan Masjid Razaleigh di sini untuk menjayakan pelbagai program mengimarahkan bulan Ramadan tahun ini.
“Sepanjang bulan Ramadan diadakan program berbuka puasa untuk masyarakat setempat bermula satu hingga 27 Ramadan. Dianggarkan kos sepanjang 27 hari ini hampir RM19,000.
“Peruntukan RM100,000 ini juga meliputi kos utiliti, upah penceramah yang dijemput khas untuk memberi ceramah dan kuliah agama. Malah sepanjang 10 malam terakhir pihak kami turut menyediakan makanan sahur kepada jemaah yang datang untuk beriktiqaf,” katanya di sini hari ini.
Mohamad Hazakrurizan memberitahu, segala persiapan sudah dibuat dan pelbagai program menarik sudah diatur sepanjang Ramadan.`
Katanya, pada masa sama pihaknya turut bekerjasama dengan Sekolah Menengah Sains Gua Musang dengan menaja 140 pelajar untuk berbuka dan moreh di masjid itu selama seminggu dua kali.
“Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan ke Bank Muamalat milik Ahli Jawatankuasa (AJK) Induk Masjid Razaleigh 03070001111717,” ujarnya.-UTUSAN










