Kurikulum tak terjejas dengan penyusunan jadual persekolahan - Azman - Utusan Malaysia

Kurikulum tak terjejas dengan penyusunan jadual persekolahan – Azman

AZMAN Adnan (tiga dari kanan) bersama Aznan Tamin (kiri) beramah mesra dengan murid tahun satu ketika mengadakan lawatan pada hari pertama persekolahan di SK (P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kurikulum persekolahan tahun ini tidak terjejas walaupun penyusunan semula tarikh persekolahan dibuat bagi mengembalikan sesi persekolahan ke Januari, seperti sebelum pandemik Covid-19, pada 2026.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan memberitahu, ibu bapa tidak perlu bimbang dengan penyusunan semula jadual sesi persekolahan yang dilaksanakan kerana jumlah hari persekolahan kekal sama, iaitu sebanyak 190 hari.

“Kerajaan telah memutuskan untuk mengembalikan semula sesi baharu persekolahan ke Januari pada 2026, berbanding bulan Mac yang dilaksanakan sejak tahun lalu susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

“Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan memberi jaminan kurikulum kita tidak terjejas, ia akan dilaksanakan seperti biasa cuma tempoh cuti persekolahan yang dipendekkan, hari persekolahan kekal 190 hari,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pembukaan semula sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin dan Pengarah Pendidikan negeri, Mohd. Hanafi Samad.

Azman berkata, pihaknya telah mengambil kira pandangan semua pihak sebelum melakukan penyusunan semula jadual persekolahan termasuk pelajar, ibu bapa dan guru..

“Kita berharap dengan usaha yang dibuat ini, sesi persekolahan akan dapat dimulakan seperti sebelum pandemik Covid-19, iaitu pada Januari menjelang 2026,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sesi persekolahan Kumpulan A yang bermula hari ini bagi empat negeri, iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu melibatkan seramai lebih 1.44 juta pelajar.

“Jumlah ini melibatkan kanak-kanak prasekolah sehingga tingkatan enam di empat buah negeri tersebut.

“Bagi negeri Johor, seramai 602,619 pelajar memulakan sesi persekolahan mereka hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×