BATU PAHAT: Mahkamah Majistret menetapkan 22 April depan bagi mendengar permohonan kes perbicaraan terhadap Mohammad Haikal Mahfuz, 24, yang didakwa membunuh Mila Sharmila Samsusah atau Bella, 32, di Mahkamah Tinggi Muar.
Majistret Suhaila Shafi’uddin menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid memaklumkan telah menerima laporan forensik berkaitan kes tersebut.
Tarikh berkenaan turut dicadangkan oleh peguam tertuduh Syahril Anuar dan tidak mendapat bantahan daripada pihak pendakwaan dan peguam pemerhati keluarga Bella, Aminatul Mardiah dan Hafidzah Hassan.
Sebelum itu, Mohammad Haikal Mahfuz tiba di mahkamah kira-kira pukul 8 pagi dengan kawalan ketat pasukan keselamatan.
Turut kelihatan ahli keluarga Bella yang menanti di pekarangan Kompleks Mahkamah Batu Pahat bagi mengikut kes tersebut.
Pada 24 Januari lalu, Mohammad Haikal, bekas posmen didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan membunuh ibu tunggal anak dua itu, namun tiada pengakuan direkodkan.
Dia didakwa membunuh Mila Sharmila antara Jalan Kelapa Barli, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar di Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Tongkang Pechah pada 14 Disember 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, misteri kehilangan Bella pada malam 14 Disember lalu akhirnya terjawab susulan penemuan rangka tidak sempurna di sebuah rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, pada pagi Jumaat, 19 Disember tahun lalu.
Hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan didapati sepadan dengan DNA milik ibu serta kakak Mila Sharmila yang kemudiannya membawa kepada penahanan suspek bersama dua lagi tertuduh. – UTUSAN









