KUALA LUMPUR: Kerajaan dengan kerjasama Petronas menyasarkan pengumpulan sebanyak 300,000 kilogram (kg) minyak masak terpakai pada tahun ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, untuk mencapai sasaran tersebut kementeriannya bersama Petronas menyasarkan stesen minyak dapat ditambah di seluruh negara dari 35 ke 55 stesen.
Menurut beliau, usaha tersebut diharap berjaya menarik penyertaaan sebanyak 15,000 orang awam.
“(Ini) bagaimana kita dapat membudayakan (aktiviti) kitar semula minyak masak, bukan dibuang di mana-mana tempat tetapi diberi ke kawasan untuk tujuan pengumpulan. Petronas telah menjanjikan akan membuka 55 stesen untuk tujuan itu.
“Setiap satu kg minyak masak itu, Petronas akan membayar RM3. Jadi contohnya, kita beli minyak masak lima kg di pasar raya kemudian selepas sebulan ada empat kg yang sudah diguna pakai. Ia boleh disimpan dan boleh dijual di stesen-stesen Petronas itu,” katanya kepada media selepas Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai Sempena Ikhlas bersama Gas Petronas di Bazar Ramadan, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Johari berkata, aktiviti mengitar semula minyak masak perlu dibudayakan supaya ia tidak menjadi seperti tindakan membuang sampah semata-mata.
“Apabila kita buang sampah dan orang kutip, kita tidak dapat apa-apa tapi bandar raya pula akan mengeluarkan kos untuk bersihkan sampah-sampah itu.
“Jadi, minyak masak jangan buang, simpan dalam tong dan kemudian bawa ke stesen-stesen Petronas untuk dijual.
“Kita nak membudayakan kitar semula minyak masak ini sebab kita pengeluar minyak masak kelapa sawit,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, Petronas sudah mengutip sebanyak 205 tan minyak masak terpakai dan dijangka pada tahun ini akan mencapai 300 tan.
“Walaupun minyak masak itu terpakai tetapi sebenarnya mempunyai nilai untuk kita buat satu kitaran ekonomi yang baharu.
“Minyak-minyak masak terpakai itu boleh diproses semula untuk diguna pakai dalam penerbangan. Petronas sedang mengkaji kilang memproses ini,” katanya.
Selain stesen Petronas, minyak masak terpakai itu juga boleh dijual di bazar-bazar Ramadan terpilih antaranya di Desa Pandan, USJ4, Bandar Kinrara, Puchong Prima dan Puncak Jalil (PUJ3). – UTUSAN











