KOTA BHARU: Sebanyak RM100 juta disalurkan oleh kerajaan bagi menjayakan 40 buah kampung yang dikenali sebagai Kampung Angkat Madani di seluruh negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perlaksanaan program tersebut bertujuan menambah baik perkhidmatan asas seperti jalan kampung, bekalan air, elektrik dan capaian internet.
Menurutnya, bagaimapun sebanyak empat buah Kampung Angkat Madani telah dipilih di Kelantan iaitu Kampung Pasir Pekan Tengah (Tumpat), Kampung Batu Papan (Gua Musang), Kampung Jenal (Kuala Krai) dan Kampung Aril (Ketereh).
“Pembangunan empat buah Kampung Angkat Madani di Kelantan itu menelan belanja sebanyak RM10 juta.
“Ini merupakan pendekatan berbeza bagi memanfaatkan rakyat setempat di kampung-kampung yang memerlukan. Kita mahu selesaikan keperluan asas rakyat terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Profesional Anak Kelantan 2024 di sini hari ini.
Terdahulu, Nik Nazmi dalam ucapannya memaklumkan, program Kampung Angkat Madani telah diperkenalkan dalam Belanjawan 2024.
Katanya, program itu menentukan penanda aras terbaik dalam memastikan capaian liputan kemudahan asas seperti air, elektrik, jalan dan internet dapat dipertingkatkan melalui
pendekatan secara keseluruhan (whole-of-government).-UTUSAN










