KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menetapkan tiga kadar bayaran zakat fitrah iaitu RM7, RM14 dan RM21 bagi tahun ini.
Yang Dipertuanya Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, bagaimanapun
pembayar zakat boleh memilih kadar tersebut berpandukan kepada harga beras yang dimakan oleh mereka.
Menurutnya, kadar bayaran itu telah mendapat perkenan daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri mengikut peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.
Ujarnya, pembayaran itu
boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan kaunter Baitulmal yang terdapat di masjid bandar atau jajahan.
“Pembayaran ini juga boleh dilakukan menggunakan e-Zakat Payment di laman seswang www.e-maik.my.
“Selain itu, ia boleh dilakukan menerusi kebanyakan institusi perbankan yang dilantik oleh Maik sebagai ejen kutipan zakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tengku Temenggong Kelantan itu turut memberitahu, kadar nisab zakat harta bagi tahun ini telah ditetapkan sebanyak
RM23,831.00 untuk haul antara Ramadan tahun 1445 hijrah hingga Ramadan tahun 1446 hijrah.-UTUSAN











