KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberikan wang ihsan dengan jumlah lebih tinggi kali ini berbanding yang diterima pada tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, sebanyak RM218 juta telah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada negeri pada April dan hujung Disember.
“Jadi…kita harap Kerajaan Persekutuan bayar banyak lagi pada tahun ini mengambil berkat Ramadan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Mahabbah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri UPKN) Kelantan dan Media Bersama Kepimpinan Penghayatan Membangunan Bersama Islam (PMBI) di sini malam tadi.
Hadir sama, Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamaruddin Md. Nor.
Mohd. Nassuruddin turut berharap Kerajaan Persekutuan mengagihkan peruntukan secara saksama sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menzahirkan harapan supaya perhatian dan peruntukan dibahagikan secara saksama kepada negeri seluruh Malaysia bagi tujuan pembangunan dan sebagainya.-UTUSAN










