KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menyiapkan sendiri Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) di Mukim Pendek di sini sekiranya pemaju yang dilantik sebelum ini tidak dapat meneruskan konsep asal pembinaan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata, ia berikutan berlaku pindaan terhadap komponen asal pembinaan projek berkenaan.
“Hal ini kerana, pihak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak membenarkan pembangunan KB Sentral disambung terus bersama stesennya. Penumpang ECRL perlu turun terlebih dahulu dan terpaksa berjalan kaki sebelum menaiki bas di KB Sentral.
“Perancangan asal ia berkonsepkan ‘integrated’ yang menyambungkan KB Sentral, terminal bas, hab e-hailing dan kereta sewa yang lengkap seperti KL Sentral,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Mahabbah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri UPKN) Kelantan dan Media Bersama Kepimpinan Penghayatan Membangunan Bersama Islam (PMBI) di sini malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu memberitahu, perubahan itu menyebabkan pemaju yang dilantik terpaksa mengkaji semula konsep pembangunan kawasan tersebut.
Katanya, halangan tersebut menyebabkan berlakunya perubahan melibatkan komponen pembangunan, nilai pembangunan dan jadual kerja yang berlainan sebagaimana perancangan asal.
“Ketika ini kita (kerajaan negeri) dalam proses memuktamadkan perjanjian akhir dengan pemaju. Jika tiada apa-apa kita akan teruskan, diperingkat negeri kita telah bayar tanah.
“Sekiranya pemaju sebelum ini tidak dapat berbuat demikian, kita akan buat sendiri (KB Sentral) tanpa komponen pembangunan yang ada kondominium, pasaraya dan keutamaan kerajaan negeri adalah menyiapkan projek tersebut,” ujarnya.
Hilmi berkata, pembinaan KB Sentral menjadi cabaran utama dan kerajaan negeri akan berusaha menyiapkan projek tersebut sebelum 2027.
Utusan Malaysia 12 Mac tahun lalu, melaporkan Projek Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) bernilai RM64 juta yang dibina di Mukim Pendek di sini dijangka siap pada hujung 2026.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, projek di kawasan seluas 2.02 hektar yang dibangunkan sebagai Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) itu akan dimulakan dalam masa terdekat.
Menurutnya, Syarikat Widad melalui syarikat bertujuan khas (SPV) iaitu Innovative City Holdings Sdn. Bhd. akan melaksanakan pembangunan dan operasi KB Sentral.-UTUSAN










