PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom mengakui tahap fizikalnya kini berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi cabaran pada Sukan Komanwel 2026.
Shah Firdaus yang sebelum ini terpaksa berehat panjang akibat kecederaan pada lutut kanan berkata, proses pemulihan berjalan dengan lancar dan dia kini sudah mampu menjalani latihan seperti biasa.
Pelumba berusia 31 tahun itu bagaimanapun mengakui masih perlu menguruskan keadaan fizikalnya dengan lebih berhati-hati bagi memastikan tidak berdepan masalah kecederaan berulang menjelang temasya tersebut.
“Setakat ini semuanya ok. Alhamdulillah, dari segi pemulihan daripada kecederaan sebelum ini semakin baik.
“Saya sudah boleh buat latihan normal tetapi saya tidak boleh keterlaluan. Saya kena seimbangkan kerana yang penting saya tidak pergi ke sana dalam keadaan kesakitan. Perkara utama adalah bagaimana untuk menguruskan kesakitan,” katanya.
Shah Firdaus berkata, pemeriksaan pengimejan resonans magnetik (MRI) yang dilakukan baru-baru ini mendapati kecederaan utama pada lututnya sudah pulih sepenuhnya.
Namun, kesan daripada prosedur pembedahan menyebabkan kawasan berkenaan masih keras dan menimbulkan rasa sakit apabila menjalani latihan berintensiti tinggi.
“Hasil MRI menyaksikan Kecederaan utama sudah pulih sepenuhnya tetapi kesan daripada pembedahan menyebabkan kawasan tersebut menjadi keras dan saya rasa sakit apabila bekerja keras,” katanya.
Shah Firdaus yang akan beraksi dalam acara pecut dan keirin bersama Datuk Azizulhasni Awang turut berkata, dia mahu menikmati setiap perlumbaan tanpa dibelenggu tekanan selain memberikan fokus terhadap persembahan terbaik buat negara.
“Bila temasya ini tiba, kerja saya bukan berlatih semata-mata. Saya berlatih untuk berlumba. Saya menikmati setiap perlumbaan, tiada tekanan dan saya mahu menikmatinya,” katanya.
Sebagai rekod, Shah Firdaus meraih pingat gangsa dalam acara keirin pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.-UTUSAN










