PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kerana cadangan untuk meningkatkan kadar tersebut tidak sesuai dengan ekonomi negara sekarang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Fakulti Pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Nanthakumar berkata, langkah mengekalkan OPR adalah yang terbaik bagi tidak membebankan lagi rakyat.
“Bagi saya, kekalkan OPR, jika tidak sektor hartanah akan berterusan terjejas disebabkan kos pinjaman mahal, terutama sekarang rakyat yang sememangnya sudah terbeban dengan kos hidup yang semakin tinggi,’ katanya.
Menurut beliau, sektor automotif juga bakal terjejas susulan pelbagai cukai barangan mewah diperkenalkan menyebabkan semakin ramai rakyat tiada kuasai membeli.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin terpaksa menaikkan OPR, jika kadar inflasi terus meningkat kesan daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi.
Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, dasar monetari BNM adalah mengawal kadar faedah seperti OPR termasuklah kecairan tunai dalam pasaran.
Menurutnya, sekiranya kadar inflasi naik dan tidak terkawal barulah BNM akan menaikkan kadar OPR bagi mengurangkan bekalan tunai di pasaran dengan menaikkan kadar simpanan dan kadar pinjaman.
Kata beliau, kadar OPR ketika ini berupaya untuk menyokong ekonomi domestik yang terus berkembang dengan kecairan tunai yang mencukupi dalam pasaran kewangan.
“Kadar inflasi semasa pada 1.5 peratus ketika ini sudah terkawal, namun BNM mengunjurkan kadar inflasi tahun 2024 akan naik kepada 2 peratus ke 3.5 peratus iaitu lebih tinggi dari sekarang.
“Ini mungkin disebabkan nilai ringgit turun, kos barangan meningkat seperti bahan binaan dan makanan terutamanya yang diimport serta peningkatan harga petrol dan diesel bila subsidi bersasar dilaksanakan tahun ini,” jelasnya. – UTUSAN










