ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengakui tidak memiliki simpanan air terawat semasa sehingga tidak mampu menampung permintaan sekiranya berlaku gangguan bekalan asas itu di Kedah.
Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff Zakaria berkata, Kedah memiliki sumber air mentah yang banyak.
Malah ujarnya, kadar rizab air terawat di negeri ini dijangka meningkat kepada 15 peratus pada 2030 berbanding sifar peratus ketika ini selepas lima loji rawatan air (LRA) yang sedang dinaik taraf siap kelak.
“Memang diakui rizab air bersih di Kedah kosong peratus, air bersih tiada tapi sumber air kita banyak. Masalah rizab air ini sudah lama dan sebab itu bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak telah mengarahkan kajian dibuat sebelum memohon kepada Kerajaan Pusat untuk membuat LRA berkenaan.
“Pada 2016, kerajaan negeri mendapat peruntukan khas bekalan air bagi mengatasi masalah itu dan pada 2018, Makmal Kejuruteraan Nilai bagi projek bekalan air Kedah telah diadakan dan sepatutnya projek LRA itu boleh terus dilaksanakan,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.
Mohamad Yusoff (PN-Kuala Nerang) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rashidi Razak (PN-Anak Bukit) yang bertanya tentang usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri dalam meningkatkan rizab bekalan air di Kedah.
Pada Januari lalu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Kedah tidak mempunyai simpanan bekalan air terawat apabila rizab marginnya dikesan sifar disebabkan isu tekanan air dan kekurangan infrastruktur.
Tambah Mohamad Yusoff, kerajaan negeri terdahulu tidak yakin dengan penilaian yang dibuat dan telah mengarahkan kajian semula dilakukan sehingga tindakan itu menyebabkan projek LRA berkenaan tertangguh.
“Sehinggalah Menteri Besar sekarang Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memulakan kembali projek itu dengan tujuan untuk memastikan rizab air meningkat dan mencukupi untuk seluruh Kedah. Kita jangka selepas semua LRA ini siap pada 2026, jumlah rizab akan meningkat dan capai 15 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Dr. Mohd. Suffian Yusoff (PN-Bandar Baharu) mengenai tindakan yang diambil untuk mengatasi kadar air tidak terhasil (NRW), Mohamad Yusoff berkata, projek yang mengambil masa 15 tahun itu dimulakan pada Januari 2023 dan dijangka berakhir pada 31 Disember 2037.
“NRW ini merupakan satu projek utama dan ia menjadi salah satu punca yang memberi kesan kepada rizab air kerana NRW Kedah tinggi dan pada tahun 2023, NRW Kedah berada pada tahap 57 peratus termasuk Langkawi dan itu satu angka yang tinggi.
“Projek ini bukan setahun tetapi ia mengambil masa 15 tahun dan kita sasarkan dalam tempoh itu berlaku pengurangan dua peratus setiap tahun dan semoga usaha ini tercapai bagi membolehkan rizab air kita meningkat dan NRW negeri diturunkan,” katanya.










