JOHOR BAHRU: Peniaga Bumiputera digesa mengambil peluang mengembangkan perniagaan bagi menarik umat Islam membeli produk mereka sekali gus menyuburkan semula kempen Buy Muslim First (BMF) susulan ketegangan isu kalimah Allah ketika ini.
Presiden Dewan Teraju Usahawan dan Peniaga Bumiputera Negeri Johor (DTUPBNJ), Datuk Ismail Karim berkata, peluang itu wajar dimanfaatkan kerana kuasa beli kaum Bumiputera adalah kira-kira RM100 bilion sebulan, perbelanjaan terbesar berbanding kaum lain.
“Para pengusaha Bumiputera perlu guna masa ini mengembangkan perniagaan setelah wujud kemarahan kepada pengusaha bukan Bumiputera yang tidak peka soal sensitiviti umat Islam, pelanggan terbesar mereka.
“Inilah masanya pelanggan Islam akan mula mencari rangkaian usahawan Bumiputera untuk disokong, inilah masanya pengusaha Bumiputera mengembangkan perniagaan mereka, khususnya perniagaan runcit berada dalam bentuk pasar raya mini atau pasar raya besar,” katanya selepas majlis berbuka puasa di White Hall Event Space, Kempas, di sini semalam.
Hari ini, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr KK Chai dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah, dua minggu lalu.
Pertuduhan di bawah Seksyen 109 dan 298 Kanun Keseksaan itu susulan 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Mart Bandar Sunway, Petaling Jaya selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, pihak DTUPBNJ berpendirian bahawa langkah boikot itu hanya terpakai kepada pengusaha yang degil dan berniat jahat.
Dalam masa sama, kerajaan turut disaran bertindak lebih keras dengan mengenakan hukuman lebih berat agar ia menjadi pengajaran kepada pengusaha lain supaya lebih peka dan sensitif terhadap isu itu.
“Semua rakyat perlu akui keharmonian adalah perkara asas bagi menjamin kesejahteraan negara. Nikmat berniaga dan mencari rezeki akan bertambah luas dan lebih mudah jika semua rakyat memahami satu sama lain.
“Langkah boikot-memboikot ini sepatutnya tidak akan berlaku jika semua pemain dalam industri memahami pantang larang ini dan menjaga sensitiviti masing-masing,” katanya. – UTUSAN










