PASIR PUTEH: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mempercepatkan operasi pembenihan awan pada minggu hadapan berbanding hujung April ini berikutan kawasan penanaman padi bawah seliaan agensi tersebut menghadapi kekurangan air yang kritikal.
Pengerusinya, Muhammad Husin berkata, langkah drastik itu perlu untuk menyelamatkan tanaman padi yang sebahagiannya masih berpeluang untuk dituai.
Menurutnya, El-Nino kali ini merupakan antara fenomena yang paling teruk berlaku dalam sejarah sejak agensi itu sejak ditubuhkan lebih 50 tahun lalu.
“Takungan air Kemubu ketika ini sudah kering dan tidak dapat dipam untuk membekalkan air ke bendang. Keadaan itu menyebabkan sebahagian besar tanaman tidak dapat diselamatkan.
“Keadaan kritikal berlaku di kawasan Kota Bharu Utara dan Kota Bharu Selatan terutamanya bendang Ketereh yang tidak mempunyai sumber air lain,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Bersama Pengerusi Kada di kediamannya di Kampung Gong Ketereh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad memberitahu, KADA awalnya bercadang melaksanakan pembenihan awan pada hujung bulan April, namun pemantauan mendapati tindaka ketika itu merugikan pesawah selepas pelbagai ikhtiar tidak memberi impak positif.
Katanya, KADA telah berbincang dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung operasi itu dan beberapa lokasi yang sesuai akan dipilih untuk pelaksanaan segera.
“Operasi pembenihan awan akan lakukan di bendang yang sudah ditanam hampir 60 hari. Bagi padi yang baru ditabur, ia mungkin tidak dapat diselamatkan lagi.
“Kira-kira 34 peratus daripada keseluruhan 26,833 hektar tanaman padi di bawah Kada dijangka akan terjejas berikutan mustim kemarau yang sedang berlaku ketika ini termasuk 9,180 hektar di Kota Bharu Utara dan Kota Bharu Selatan,” ujarnya.
Muhamad berkata, fenomena El Nimo yang berlaku akan mempengaruhi jumlah pengeluaran padi bagi musim penanaman kedua 2023 yang dijangka akan menyusut sehingga 25 peratus jika suhu semasa pada kadar 30 hingga 34 darjah celsius berbanding 212,000 metrik tan pada hasil tuaian musim pertama.-UTUSAN
Habis











