SEREMBAN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan menjangkakan berlaku peningkatan sehingga 20 peratus jumlah sisa buangan bahan makanan dari bazar Ramadan di negeri ini.
Pengarahnya, Hazahar Hashim berkata, jangkaan tersebut berdasarkan terdapatnya penambahan lokasi dan peniaga di bazar Ramadan pada tahun ini.
“Di Seremban dan Nilai sahaja terdapat sebanyak 49 buah lokasi bazar Ramadan, penambahan sebanyak 15 lagi lokasi oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
“Oleh itu kami menjangkakan disebabkan pertambahan mendadak lokasi Bbazar Ramadan dan peniaga tersebut, ia turut mendorong kepada peningkatan daripada segi jumlah sisa makanan,” katanya ketika ditemui pada Program MySaveFood di Bazar Ramadan Bandar Baru Nilai di sini hari ini.
Yang turut hadir pada program tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar.
Hazahar dalam pada itu berkata, justeru menerusi Program MySaveFood di bazar Ramadan yang dilaksanakan sepanjang 10 hari bermula hari ini, ia dapat menyeru masyarakat untuk menghargai makanan dan mengelakkan pembaziran
Jelas beliau, pada tahun lalu, sebanyak 4,547 kilogram (kg) jumlah sisa makanan telah diselamatkan sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 1,101.8 kg.
“Tahun ini kami menyasarkan peningkatan sehingga dua kali ganda untuk tujuan tersebut (sisa makanan diselamatkan). Dalam sehari sahaja 100 kg makanan dan minuman diselamatkan,” katanya lagi.
Arul Kumar sementara itu berkata, beliau menggalakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergabung dalam meneruskan program ini sehingga akhir Ramadan.
“Apabila ada gabungan kerjasama tersebut, berkemungkinan tujuan kita bagi mengelakkan pembaziran berlaku boleh dapat diatasi.
“Tahun lepas sahaja, di tapak bazar Ramadan ini, sebanyak 2,673.1 kg makanan dan 1,874 kg minuman dikumpulkan sepanjang pelaksanaan program seumpama ini dengan disertai 250 orang sukarelawan.
“Oleh itu penglibatan dari semua pihak bagi menjayakan program dirancang kerajaan adalah amat penting kerana pengurusan sisa pepejal yang teratur merupakan tanggungjawab bersama,” katanya.
Program MySaveFood Ramadan diadakan dengan kerjasama Pemuda GEMA Negeri Sembilan membabitkan tujuh lokasi Bazar Ramadan terpilih di Seremban serta Nilai antaranya di Bazar Ramadan Putra Nilai, Bazar Ramadan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan Bazar Ramadan Bandar Seri Sendayan.-UTUSAN.











