MELAKA: Keenakan ayam tempayan Abang Long Legend yang diperap dengan 12 bahan terpilih menjadikan juadah itu menjadi pilihan ramai ketika berbuka puasa.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, pemilik gerai, Muhammad Shahrul Ramli, 32, berkata, perniagaan yang diusahakan keluarga mentua sejak 13 tahun lalu menjadi lokasi wajib singgah pelanggan setiap kali Ramadan.
Katanya, sebanyak 80 ekor ayam terjual setiap hari di tiga bazar Ramadan iaitu Semabok Perdana, Taman Peringgit dan Jasin Bestari.
“Kami menggunakan ayam segar dan proses perapan dilakukan pada awal pagi bagi memastikan bahan-bahan seperti madu, lada hitam dan sos cili meresap sebati ke dalam daging ayam. Kemudian ayam dibakar dalam bekas khas menggunakan arang antara 40 minit hingga satu jam.
“Segala minyak atau kolestrol pada ayam akan dikeluarkan melalui bahagian bawah tempayan. Isi ayam sama ada lembut atau sedikit kering bergantung kepada tempoh ia dimasak.
“Ada pelanggan yang suka isi lembut atau kering sedikit. Harga seekor ayam tempayan bermula dari RM25 hingga RM35 mengikut saiz dan berat,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Semabok Perdana di sini.
Ujarnya, ayam yang tidak habis dijual tidak akan disimpan untuk keesokan hari bagi menjamin kualiti dan rasa.
Sebailknya ia digunakan sebagai inti martabak.
“Selain ayam tempayan, saya juga menjual martabak dan roti boom. Isi ayam yang tidak habis dijual akan dicarik dan dikisar untuk dibuat inti martabak.
“Jadi, ayam tempayan yang dijual setiap hari memang ayam segar dan diproses hari itu juga,” ujarnya. – UTUSAN










