BANGI: Jerman negara pertama dijemput menganggotai Majlis TVET negara (MTVET) untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam pembangunan modal insan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemain industri Jerman telah menawarkan diri untuk menyumbang dari segi pengalaman dan kepakaran teknologi kepada institusi TVET di Malaysia.
Katanya, beliau telah menjemput Dewan Perniagaan dan Industri Jerman (DHIK) di Malaysia untuk menghantar wakil ke dalam MTVET negara ketika lawatan di Berlin, baru-baru ini.
“Duta Jerman akan membuat perbincangan dan salah seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) daripada syarikat Jerman akan dinamakan bagi menganggotai MTVET.
“Saya juga akan menjemput pemain industri lain daripada beberapa negara luar yang telah mempunyai institusi TVET untuk bersama dalam Majlis TVET Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Majlis Penasihat Industri 2024 (IAC Summit 2024) di Dewan Feisol Hassan, Kampus GMI, Bangi, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, ia bertujuan mewujudkan keterangkuman agar ilmu dan teknologi baharu dapat dikongsi sekaligus memberikan peluang pekerjaan kepada lepasan TVET.
“Syarikat-syarikat mereka yang berada di Malaysia boleh menandatangani perjanjian bagi mengambil pekerja lepasan TVET untuk bekerja dengan gaji premium sekurang-kurangnya RM3,500,” katanya.
Tambahnya lagi, kerajaan dengan kerjasama Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta badan-badan swasta terpilih memberi komitmen untuk melatih seramai 100,000 pelatih TVET dalam tempoh lima tahun termasuk menyediakan tawaran pekerjaan.
Tujuh syarikat terlibat termasuk Petronas (industri minyak dan gas), Sime Darby (perladangan), MRCB (pembinaan), Tenaga Nasional Berhad (TNB)(tenaga boleh baharu) dan Telekom Malaysia (digital).
“Kebolehpasaran lulusan TVET akan dapat ditingkatkan daripada kadar 98.5 peratus kepada sekurang-kurangnya 99.5 peratus.
“Hanya melalui bekalan latihan yang cukup serta pekerjaan dengan gaji bermakna yang dapat mengubah nasib hidup golongan bumiputera di Malaysia termasuklah mereka yang berada di desa daripada kalangan keluarga peneroka Felda dan anak-anak nelayan,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut German Malaysian (MGI), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), dan GiatMARA dengan rakan industri sebagai tanda komitmen mereka kepada usaha-usaha kolaboratif dalam memajukan sektor TVET.
“Hari ini adalah peristiwa penting dengan beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) ditetapkan termasuk pelantikan Ahli Majlis Penasihat Industri. Perjanjian ini menandakan pengukuhan penglibatan perniagaan antarabangsa.
“Saya gembira mengetahui bahawa ramai rakyat Malaysia terutama Syarikat Multinasional (MNC) menyatakan berminat untuk mengambil bahagian dan menyumbang input serta idea dalam mempertingkatkan Rangka Tindakan TVET,” katanya. – UTUSAN











