KOTA BHARU: Kerajaan negeri mengesahkan Jawatankuasa Khas Pertahan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang dibentuk susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah masih belum memulakan sidang mesyuarat pertamanya.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia berikutan jawatankuasa tersebut baru sahaja ditubuhkan dan persidangan itu akan dijalankan selepas Ramadan nanti.
“Kita sudah melantik ahli-ahlinya dan insya-Allah boleh bersidang selepas ini.
“Pada sidang mesyuarat itu nanti, kita akan melihat bagaimana sebenarnya kerajaan negeri mahu menelusuri perkara berkaitan berpandukan kepada keadaan semasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik sempena Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Petronas di sini malam tadi.
Pada 6 Mac lalu Utusan Online melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Daud berkata, kerajaan negeri akan terus memperkasa dan mempertahankan undang-undang syariah sebagaimana titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
“Sebagai rakyat kita tidak boleh bercanggah dengan tuanku yang merupakan ketua Agama Islam di negeri ini. Apatah lagi sebagai pemimpin dan penggubal undang-undang, kita tidak sepatutnya mempunyai pemikiran sebegitu.
“Kerajaan negeri telah membentuk Jawatankuasa Khas Pertahan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan,” ujarnya.
Sebelum itu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini sebulat suara meluluskan usul penggubalan semula 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang terbatal dan tidak sah sebagaimana telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu.-UTUSAN










