Jangan persoal kedaulatan Sabah dalam Malaysia – Hajiji

Jangan persoal kedaulatan Sabah dalam Malaysia – Hajiji

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menolak sekeras-kerasnya sebarang tuntutan ke atas Sabah yang disifatkan sama dengan mempersoalkan kedaulatan negeri itu dalam Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menghargai pendirian kukuh Kerajaan Persekutuan untuk tidak melayan dakwaan terbaharu kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai United Tausug Citizens (UTC).

Menurut beliau, Sabah juga mendapat sokongan masyarakat global mengenai perkara ini.

Beliau turut menegaskan sekali lagi bahawa rakyat Sabah telah memilih untuk bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), maka sebarang tuntutan luar terhadap Sabah tidak akan diiktiraf oleh kerajaan negeri mahupun rakyat.

Malah, tuntutan pewaris Kesultanan Sulu yang tidak berfungsi serta tidak berasas itu berakhir dengan pemenjaraan penimbang tara Dr. Gonzalo Stampa.

Hajiji menegaskan, dakwaan oleh UTC atau mana-mana kumpulan ke atas Sabah tidak lain adalah hanya satu percubaan remeh semata-mata untuk mengganggu-gugat keamanan negeri dan ia sama dengan mengancam kedaulatan negara.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan bahawa tuntutan terbaharu yang cuba dibuat oleh kumpulan Sulu yang dikenali United Tausug Citizens (UTC) terhadap Sabah sebagai remeh dan tidak perlu dilayan.

Katanya, Kesultanan Sulu tidak berfungsi selama beberapa dekad dan tidak diiktiraf oleh mana-mana negara berdaulat atau organisasi antarabangsa. Maka, tuntutan UTC yang mendakwa sebagai ‘penjaga sah Wilayah Kesultanan Sulu’ ke atas Sabah adalah tidak berasas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN