JOHOR BAHRU: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berhasrat meningkatkan keupayaan perniagaan lebih 600 belia dalam merangsang perkembangan ekonomi tempatan.
Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi program Iskandar Malaysia Youth Entrepreneurship Scheme (IMYES) dan Iskandar Malaysia Business Upskilling for Youth (IMSKILL) yang dilaksanakan dengan kerjasama Iskandar Youth Hub Sdn. Bhd. (HAB).
“Program ini bertujuan memastikan rakyat dan ekonomi tempatan turut mendapat manfaat daripada pembangunan pesat di Iskandar Malaysia. Menerusi geran dan latihan yang diberikan, usahawan belia tempatan ini bukan sahaja dapat memenuhi keperluan ekonomi tempatan malah berpeluang memberi perkhidmatan dan menyediakan produk kepada pelabur asing yang masuk ke wilayah ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Seramai 299 belia telah menerima geran berbentuk modal permulaan sebanyak RM5,000 atau RM10,000, elaun latihan dan turut berpeluang menghadiri enam kelas keusahawanan dan elaun latihan menerusi program IMYES.
“Geran yang diberi boleh digunakan untuk pembelian mesin dan peralatan, pemasaran dan promosi, pendigitalan, pembelian secara kredit serta pembelian stok dan bahan mentah.
“Sementara itu, program IMSKILL pula menyaksikan seramai 322 usahawan belia telah mengikuti pelbagai latihan kemahiran seperti menggunting rambut, pembuatan pastri dan kemahiran barista serta kemahiran insaniah seperti pendigitalan, penjenamaan, pemasaran dan lain-lain lagi,” katanya.
Badrul Hisham turut memberitahu, kerjasama IRDA dan HAB menerusi program berkenaan menunjukkan komitmen mereka untuk memberdayakan belia dan mendorong semangat keusahawanan di Iskandar Malaysia.
“Dengan menyediakan sokongan, sumber dan peluang yang diperlukan, IMYES dan IMSKILL berjaya membuka jalan bagi masa depan yang lebih cerah untuk usahawan muda di negeri Johor, seterusnya merangsang ekonomi tempatan,” katanya. – UTUSAN










