MELAKA: Harga makanan bazar Ramadan di negeri ini didapati meningkat sebanyak 10 peratus melibatkan daerah Melaka Tengah namun masih dianggap munasabah, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar.
Beliau berkata, kenaikan itu tidak berlaku di bazar Ramadan sekitar daerah Alor Gajah dan Jasin, setakat tempoh dua minggu umat Islam menjalani ibadah puasa.
Ujarnya, setakat ini aduan diterima mengenai kenaikan harga makanan hanya dilaporkan di Melaka Tengah sahaja.
“Hasil siasatan kami dapati kenaikan itu bukan di semua tempat tetapi ada satu atau dua tempat serta peningkatannya sebanyak 10 peratus berbanding tahun lalu. Bazar Ramadan di Alor Gajah dan Jasin harga makanan yang dijual masih terkawal tetapi di Melaka Tengah ada peningkatan sedikit.
“Kita dapati harga makanan yang dijual masih dianggap munasabah berbanding di beberapa negeri lain, malah di Melaka adalah antara negeri paling rendah berlaku kenaikan harga makanan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan Op Samar di Bazar Aidilfitri Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, malam tadi.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, sewa tapak bazar Ramadan tinggi yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi punca peniaga menaikkan harga jualan, bukannya akibat kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam lawatan beliau ke beberapa tapak bazar Ramadan sebelum ini mendapati, kos sewa tapak terlalu tinggi.
Tambah Norena, dua premis menjual buah-buahan dan pakaian telah dikompaun sebanyak RM200 bagi setiap kesalahan dalam Op Samar yang bermula semalam.
“Kompaun tersebut diberikan membabitkan kesalahan kerana tidak meletakkan tanda harga dan alat timbang. Tindakan kompaun diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972.
“Op Samar akan dilaksanakan setiap malam sehingga berakhir Ramadan dalam memastikan peniaga mematuhi Op Pantau yang telah dijalankan sejak 1 Ramadan,” ujarnya. – UTUSAN











