BATU PAHAT: Hanya lima pasang stoking yang mempunyai cetakan kalimah Allah ditemukan di sebuah kilang yang ditularkan sebagai pihak pengeluar produk kontroversi itu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, lima pasang stoking berkenaan merupakan stoking yang dipulangkan oleh salah sebuah cawangan pasar mini KK Mart Sunway di Selangor.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap 18,000 pasang stoking yang terdapat dalam enam bungkusan besar di kilang berkenaan mendapati tiada stoking bercetak kalimah Allah ditemukan.
“Siasatan mendapati kilang ini tidak membuat sebarang jenama stoking, namun hanya mengeluarkan pelbagai jenis selipar.
“Stoking yang dijumpai adalah barang diimport dari negara China dan ia adalah sebahagian daripada produk ditempah dari negara berkenaan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Menurut Ismail, siasatan juga mendapati kilang berkenaan hanya membungkus dan mengedar selepas menerima stoking yang ditempah dari China.
Katanya, hanya tiga pasar mini yang terlibat dalam kejadian penjualan stoking berkenaan dan semuanya di Sunway, Selangor.
“Tiada penemuan baharu stoking berkenaan dan lima pasang stoking tersebut telah dirampas untuk siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 98A Kanun Keseksaan, Seksyen 505 kanun yang sama Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998,” katanya. – UTUSAN










