PETALING JAYA: Kes-kes gangguan seksual melibatkan golongan pendidik tidak sepatutnya berlaku di sekolah kerana amanah guru adalah melindungi dan membimbing pelajar.
Ketua Penolong Pengarah (D11) Siasatan Seksual Wanita Dan Kanak-Kanak JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, berdasarkan analisis, sebanyak enam peratus daripada kira-kira 5,000 kes gangguan seksual dilaporkan berlaku di sekolah dalam tempoh lima tahun sejak 2019 hingga 2013.
Menurut beliau, walaupun jumlah itu nampak ‘kecil’ iaitu kira-kira 300 kes namun ia tidak sepatutnya berlaku sama sekali.
“Mereka (guru) ini pendidik yang sepatutnya melindungi, bukan memberi ancaman sehingga menakutkan pelajar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Siti Kamsiah berkata, apa-apa perbuatan dan percakapan mengaibkan dianggap sebagai kesalahan gangguan seksual dan boleh berlaku di mana-mana iaitu sekolah, rumah atau lain-lain tempat.
“Jadi, sebarang kes yang dianggap gangguan seksual termasuk meraba dan mengeluarkan kata-kata mengaibkan di sekolah boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Ditanya jika hubungan atau gangguan seksual dikategori suka sama suka melibatkan pelajar dan guru, Siti Kamsiah berkata, apabila membabitkan kanak-kanak di bawah 18 tahun, ia merupakan satu kesalahan.
“Tidak kisahlah suka sama suka atau sebaliknya, contohnya dengan pelajar 16 tahun kalau dah sampai membuat hubungan seksual, kita tetap menganggap ia kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak iaitu merogol.
“Justeru, pelbagai usaha antaranya kempen kesedaran dan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pihak sekolah bagi menyalurkan maklumat kepada kumpulan sasaran tentang isu-isu gangguan seksual di sekolah.
“Kempen tersebut bukan sahaja tertumpu kepada mangsa iaitu pelajar namun kepada pemangsa juga agar mereka tahu apa-apa kesalahan di bawah gangguan seksual,” ujarnya.
Selain itu, Siti Kamsiah berkata, pihaknya turut membuat libat urus dengan pihak Kementerian Pendidikan termasuk menteri bagi menerangkan trend-trend terkini berkaitan gangguan seksual.
“Daripada usaha-usaha tersebut, kita lihat tahap kesedaran berkaitan gangguan seksual semakin meningkat terutamanya di sekolah.
“Banyak kes yang guru sendiri melaporkan kepada pihak berkuasa apabila murid itu sendiri menjadi mangsa gangguan seksual tidak kira di sekolah atau di rumah,” katanya.
Pada 16 Mac lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi amaran keras kepada pendidik dan kakitangan kementeriannya yang terlibat dalam kesalahan gangguan seksual terhadap pelajar untuk memecat mereka.
Fadhlina juga mengingatkan mereka agar tidak mengambil sikap lepas tangan berhubung kesalahan seumpama itu.
Jelasnya, KPM memandang serius isu gangguan seksual terhadap pelajar dan sentiasa komited untuk membanterasnya.
“Saya nak beri amaran, sekiranya berlaku kes-kes dalam institusi pendidikan – you touch, you go (kamu sentuh, kamu dipecat).
“Kita mesti beri penekanan yang betul supaya mereka faham yang kita serius untuk memastikan kes-kes ini tidak berlaku dalam sekolah kita. Jadi, you touch you go,” tegasnya sekali lagi. – UTUSAN










