KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengenal pasti sebanyak 38 lokasi di negeri ini yang merupakan hot spot kejadian kebakaran terbuka ekoran fenomena El Nino ketika ini.
Pengarahnya, Zainal Madasin berkata, kawasan-kawasan itu melibatkan beberapa lokasi di daerah Bachok, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tumpat, Kota Bharu dan Gua Musang.
Menurutnya, Pasir Puteh mencatatkan hot spot kebakaran terbuka paling banyak iaitu 12 lokasi diikuti Bachok dengan tujuh kawasan.
“Pasir Mas, Kota Bharu dan Gua Musang masing-masing mencatatkan enam kawasan panas manakala hanya satu lokasi di Gua Musang.
“Lokasi yang sering berlaku kebakaran terbuka merupakan kawasan berhampiran pantai seperti Bachok dan Tok Bali. Setakat ini, kita belum menerima sebarang panggilan kecemasan berhubung kes berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengunjungi dan menyampaikan bantuan di rumah seorang kakitangan JBPM Kelantan di Kampung Bechah Mulong, Peringat di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Amazun Mohd. Noor, 54, sekeluarga telah menerima kunjungan daripada Pengasas Yayasan Raja Shamri (YRS), Raja Shamri Raja Husin yang turut menyampaikan barangan keperluan asas, lampin dan sumbangan wang tunai.
Zainal memberitahu, pihaknya tidak hanya menunggu panggilan kecemasan mengenai kebakaran terbuka, sebaliknya JBPM Kelantan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan membuat rondaan di kawasan-kawasan hot spot.
Katanya, lebih 1,000 pegawai dan anggota JBPM, bomba bantuan termasuk sukarela akan bergerak bagi membantu setiap operasi atau rondaan.
“Setakat ini, kita tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan punca air untuk melaksanakan operasi menyelamat meskipun cuaca panas semasa musim kemarau ketika ini.
“Bagaimanapun, orang ramai perlu mengelakkan daripada melakukan pembakaran terbuka secara meluas ketika ini bagi mengelak ia daripada terus merebak,” ujarnya.-UTUSAN










