DAP mudah pertahan Kuala Kubu Bharu - Utusan Malaysia

DAP mudah pertahan Kuala Kubu Bharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP dijangka tidak berdepan sebarang masalah dalam mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu susulan kematian penyandang­nya, Lee Kee Hiong.

Penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, ini kerana kawasan tersebut adalah kubu kuat DAP.

Malah, katanya, Perikatan Nasional (PN) yang dilihat membangkitkan isu yang tidak mesra bukan Melayu mampu memberi kelebihan kepada parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan itu.

“Atas kertas tiada masalah. Sebab hari ini isu seperti kalimah Allah, bak kut teh (sebagai makanan warisan), maka sudah tentu orang Cina akan sokong kerajaan sebab PN tidak nampak seperti mesra dengan isu-isu ini.

“Selain itu, tiada sebab bagi orang bukan Islam tak menyokong Pakatan Harapan (PH) apatah lagi DAP yang bertanding,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kee Hiong yang menyandang kerusi DUN Kuala Kubu Bharu itu sejak 2013 meninggal dunia selepas beberapa tahun bertarung dengan kanser.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor Ogos tahun lalu menyaksikan Kee Hiong menang dengan majoriti 4,119 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya termasuk calon PN, Teoh Kien Hong.

PELAKSANAAN

Susulan kematiannya, SPR dijangka menetapkan tarikh pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam tempoh 60 hari selepas pengisytiharan kekosongan luar jangka kerusi DUN.

Mesyuarat SPR antara lain bertujuan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

Mengulas lanjut, Dr. Mazlan berkata, keputusan PRK itu nanti bakal jadi petunjuk terutama bagaimana rakyat menilai prestasi kerajaan.

Katanya, ini kerana pengundi akan memberi sokongan sekiranya berpuas hati dan protes jika prestasi kerajaan belum memuaskan.

“Di Kuala Kubu Bharu, jika PH menang dengan majoriti lebih besar, itu menunjukkan rakyat berpuas hati. Ini kerana salah satu sebab keluar mengundi itu menunjukkan apresiasinya kepada kerajaan.

“Namun, jika majoriti makin rendah, maka ada perkara tidak kena misalnya rakyat masih lagi terkesan.

“Cuma, kalau (undi) kerajaan menurun dan pembangkang pun lagi menurun, itu menunjukkan proses biasa pilihan raya sebab tidak ramai pulang mengundi pada PRK,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN