KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tidak akan menuntut kerusi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu meskipun berlaku pertambahan jumlah kira-kira 50 peratus pengundi Melayu.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sekali gus menghormati kerusi tersebut milik rakan dalam Kerajaan Perpaduan dan akan terus menyokong walau siapa pun calon yang diletakkan Pengerusi Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita ketahui bahawa DUN di Selangor iaitu Kuala Kubu Bharu telah kosong disebabkan ADUNnya telah meninggal dunia. Kami merasakan bahawa walaupun jumlah pengundi di Kuala Kubu Bharu itu telah meningkat pengundi Melayu kira-kira 50 peratus, namun demi menghormati Kerajaan Madani yang ada, saya merasakan rakan dalam UMNO dan komponen BN harus hormati kerusi itu kepunyaan rakan kita dalam Kerajaan Perpaduan.
“Siapa sahaja yang dicalonkan Pengerusi Kerajaan Perpaduan, inshaAllah jentera UMNO bukan sahaja dari Selangor, tetapi saya yakin jentera dari BN terutama dari MCA dan rakan parti dalam BN akan bersama dengan UMNO untuk turun membantu calon berkenaan biarpun tarikhnya belum ditentukan,” katanya berucap dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Majlis Kerja Tertinggi di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Selangor, Lee Kee Hiong meninggal dunia, dipercayai akibat kanser.
Bagaimanapun, Pejabat Speaker DUN Selangor memaklumkan pengisytiharan kekosongan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu akan dibuat sebaik segala urusan pengebumian mendiang Lee Kee Hiong selesai.
Pada PRN Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.
Beliau kali pertama mewakili kawasan itu pada 2013 apabila menewaskan Ooi Hui Wen dari MCA dengan majoriti 1,702 undi. – UTUSAN










