RAUB: Barisan Nasional (BN) tidak akan terjebak dengan politik pecah perintah dan mengadu domba pihak tertentu yang melaga-lagakan hubungan baik yang sekian lama terjalin antara parti komponen dalam gabungan tersebut.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, parti komponen BN seperti UMNO, MCA dan MIC ibarat satu badan yang saling memerlukan dalam membina sebuah negara maju.
Tegasnya, hubungan baik antara parti komponen BN akan terus ditingkatkan bagi memastikan gabungan berkenana terus kekal relevan dalam usaha membela nasib rakyat.
“Biarpun pelbagai fitnah dan persepsi negatif melanda yang sengaja dimainkan pihak lain namun hubungan baik UMNO, MCA dan MIC masih teguh, logik dan relevan.
“Orang luar yang mainkan sentimen kata hubungan kita tak relevan, sedangkan mereka yang tidak relevan sebab tak pernah berkhidmat untuk rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Sambutan Tahun Baru Cina MCA Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Majlis Daerah Raub di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, sentimen, persepsi dan fitnah banyak mengaburi setiap usaha dilakukan kerajaan bagi keselesaan serta kebajikan rakyat.
“Kita buat kerja untuk rakyat dan terus relevan untuk rakyat, dari dahulu lagi sejak memperjuangkan kemerdekaan,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat supaya melihat prestasi sebagai contoh apa yang dilakukan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong ketika memegang jawatan menteri.
“Beliau (Ka Siong) berjaya mengembalikan laluan asal Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sekarang yang diubah sebelum ini selain mewujudkan dua universiti dengan kos pengajian yang mampu dibayar rakyat.
“Ini usaha yang patut diberi perhatian tapi orang sibuk main sentimen, persepsi dan tabur fitnah sedangkan semua okay, tak ada masalah,” ujarnya. – UTUSAN










