Bersatu Kelantan gantung jawatankuasa Bahagian Gua Musang

Bersatu Kelantan gantung jawatankuasa bahagian Gua Musang

KAMARUDIN MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan menggantung Jawatankuasa bahagian Gua Musang selepas ketuanya Mohd. Azizi Abu Naim mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, tindakan yang diambil sejak sebulan lalu itu menyaksikan Badan Perhubungan Negeri kini mentadbir bahagian tersebut buat sementara waktu.

“Tempoh penggantungan itu sehingga pindaan perlembagaan parti yang dibuat sebelum ini mendapat pengesahan dan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Dari segi hubungan parti, dia (Mohd. Azizi) sudah tidak lagi mewakili Perikatan Nasional (PN). Pada masa sama dia telah digugurkan dari ‘group WhatsApp’  wakil rakyat PN,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.

ADUN Ayer Lanas itu memberitahu, tindakan menggugurkan Ahli Parlimen Gua Musang dan Nenggiri dibuat selepas pentadbir ‘group WhatsApp’ hilang kepercayaan setelah membuat tindakan bercanggah dengan parti itu menyokong pihak lawan.

Katanya, selain Mohd. Azizi, Ahli Parlimen Jeli iaitu Zahari Kechik turut digugurkan dari ‘group WhatsApp’ selepas bertindak menyokong Anwar.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Ahli Parlimen Gua Musang dari Perikatan Nasional (PN) Mohd. Aziz Abu Naim secara rasmi mengisytiharkan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sokongan terbuka itu dinyatakan oleh Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Gua Musang menerusi satu kenyataan media yang dimuat naik menerusi laman sosial rasminya sebentar tadi.

Selain Mohd. Azizi, Zahari turut bertindak mengisytiharkan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×