KUALA LUMPUR: Pengguna akhirnya dapat membeli beras putih tempatan yang berharga RM26 bagi pek 10 kilogram selepas enam bulan beras berkenaan tiada dalam pasaran.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Petugas Khas (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Negara bagi Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan kerajaan yang memberi jaminan berhubung bekalan tersebut.
Namun, katanya, perkara itu perlu diperincikan lagi supaya pengguna dapat membeli beras putih tempatan dengan mudah khususnya menjelang sambutan hari raya tidak lama lagi.
PASARAN
“Perjuangan saya untuk memastikan beras tempatan berada di pasaran akhirnya berjaya apabila 140,000 tan metrik beras putih tempatan akan dijual pada harga RM26 sekampit.
“Yang saya pertikaikan selama ini ialah mengapa rakyat tidak dapat membeli beras tempatan selama enam bulan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Kelmarin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan, semua stok padi dan beras yang dibeli pengilang berjumlah 140,000 tan metrik dapat diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan berkuat kuasa serta-merta.
Langkah itu bagi meningkatkan pengedaran beras putih tempatan dalam menangani isu kekurangan bekalan di pasaran susulan pelarasan harga beras putih import oleh Bernas pada 1 September 2023.
Bagaimanapun, Syed Abu Hussin berkata, bekalan 140,000 tan metrik padi itu hanya cukup untuk bekalan beras putih tempatan selama sebulan.
Katanya, penyelesaian berikutnya akan dibuat dalam mesyuarat NACCOL akan datang,” katanya ketika ditemui, semalam.
PANTAU
Syed Abu Hussin berkata, pihaknya akan memulakan pemantauan bermula esok (Jumaat) bagi memastikan pengguna mendapat bekalan seperti yang dijamin oleh kerajaan.
“Penggerak Madani yang saya tubuhkan akan membantu kementerian membuat pemantauan setiap dua hari sekali dan saya meminta kerjasama dari pihak kawal selia padi untuk memaklumkan kepada rakyat.Kilang mana yang akan keluarkan beras putih tempatan RM26 dan berapa jumlah yang dikeluarkan kilang berkenaan dan di lokasi pasaraya mana yang akan diedarkan,” katanya.
Syed Hussin dalam masa yang sama turut mempersoal berhubung tiada penetapan harga siling terhadap beras import yang turun sekitar RM2 hingga RM3.
Ini kerana katanya, dalam mesyuarat berkenaan tidak disentuh mengenai penetapan harga siling yang disifatkan penting supaya rakyat jelas untuk membuat pembelian. – UTUSAN











