PETALING JAYA: Faktor tidak mempunyai akademik yang tinggi bukan tiket utama seseorang terpaksa menjadi pelacur sebagai kerjaya, sebaliknya ia adalah satu pilihan.
Bercakap Utusan Malaysia, kaunselor perkahwinan dan keluarga, Hushim Salleh berkata, kebanyakannya mereka memilih bekerja sebagai pelacur kerana buntu untuk mendapatkan wang dengan segera.
“Kebanyakan klien yang berjumpa dengan saya untuk mendapatkan khidmat nasihat merupakan orang yang berakademik tinggi tetapi memilih untuk bekerja sebagai pelacur kerana sumber pendapatan yang lumayan dan mudah.
“Kebanyakan wanita memilih untuk menjadi pelacur kerana ditinggalkan suami yang tidak bertanggungjwab untuk menampung kos hidup dan keperluan anak-anak,” ujarnya.
Menurutnya, walaupun mereka mempunyai pilihan untuk tukar kerjaya tetapi kebanyakan mereka memberi alasan ‘tidak selesa’ dengan pandangan negatif masyarakat.
Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan, desakan hidup menyebabkan seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Kamariah bergelumang dengan dunia pelacuran sejak lebih 20 tahun lalu.
Menganggap takdirnya ‘buruk’ berbanding orang lain, Kamariah melakukan apa sahaja asal anaknya dapat membesar dan bersekolah.
Menurut Kamariah, dalam sehari dia melayan antara tiga ke empat orang pelanggan yang majoritinya rakyat negara asing bagi memperoleh wang untuk meneruskan kehidupan.
Walau bagaimanapun, Hushim Salleh berkata, apabila sudah terjebak dalam dunia pelacuran, mereka yang terlibat akan terus bekerja sehingga mereka mencecah usia tua.
“Bayangkan, jika antara mereka dapat 10 pelanggan dalam satu hari, pendapatan harian yang mereka peroleh mungkin boleh mencecah ribuan ringgit,” katanya. – UTUSAN










