SEREMBAN: Kewujudan bazar Ramadan yang membolehkan orang ramai berbelanja untuk juadah berbuka puasa turut menjadi tumpuan kehadiran golongan pengemis
Itu antara tinjauan yang dilakukan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan di bazar-bazar Ramadan di sekitar Nilai di sini yang turut mendapati ada di antara pengemis yang membawa kanak-kanak bagi meraih simpati.
Pengarah JKM negeri, Rosnah Sardi berkata, berdasarkan modus operandi ada antara mereka (pengemis) membawa kanak-kanak untuk mengemis yang secara jelas merupakan satu kesalahan dibawah Akta Kanak-Kanak 2001.
“Perbuatan ini tidak seharusnya dilakukan kerana secara tidak langsung memanipulasikan golongan kanak-kanak bagi meraih simpati.
“Jika tidak ada masyarakat atau komuniti yang memberi bermakna mereka tidak akan hadir di tempat tersebut. Mereka (pengemis) wujud bila ada yang (masyarakat) memberi, tambahan lagi membawa dan menggunakan kanak-kanak.
“Jadi JKM harap agar masyarakat memberi sumbangan kepada pihak yang betul kerana mereka juga dikhuatiri terpalit jenayah disebaliknya. Kami tidak menghalang tetapi menggalakkan agar kesedaran itu dan berharap dapat membantu menjadikan bandar yang lebih harmoni dan masyarakat sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Op Ramadan ‘Helping The Vagrant Community’ di Nilai di sini semalam.
Katanya, menerusi Kempen Bijak Membantu Elak Tertipu yang dilaksana juga menggalakkan masyarakat supaya memberi sumbangan kepada pihak yang betul.
“Contohnya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar yang menjalankan program membantu golongan sasar mahupun institusi masjid,” katanya lagi.
Rosnah berkata, pihaknya memandang serius perbuatan mengemis yang menyalahi dalam Akta Orang-Orang Papa 1977 dan berusaha membanteras aktiviti pengemisan berlaku secara berleluasa di negeri ini.
“Berikutan itu, JKM bertanggungjawab menyelamatkan golongan pengemis bagi diberi pemulihan samada di insitusi kami atau di luar institusi.
“JKM mempunyai dua institusi pemulihan desa bina diri iaitu di Mersing, Johor dan Jerantut, Pahang di mana kami akan meletakkan pengemis yang diselamatkan untuk pemulihan dan di situ mereka akan diberi kemahiran.
“Usaha itu bagi membolehkan golongan tersebut mampu berdikari dan tidak mengulangi perbuatan mengemis. Tempoh pemulihan mengambil masa tiga tahun mengikut perintah dikeluarkan mahkamah untuk warga tempatan dan bagi pengemis warga asing yang tidak mempunyai permit akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan susulan,”katanya.-UTUSAN.










