MELAKA: Tidur awal dan bangun pukul 2 pagi untuk mengulang kaji pelajaran, antara resipi seorang pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 diumumkan semalam.
Nur Sumiyyah Sazalie, 20, memperoleh lapan mumtaz dan dua jayyid jiddan dan diumumkan sebagai antara pelajar terbaik STAM 2023 di Melaka.
Menurutnya, dia memerlukan tidur secukupnya untuk merehatkan minda bagi memudahkan proses penerimaan maklumat.
“Apabila waktu peperiksaan semakin hampir saya akan tidur awal dan bangun semula pukul 2 pagi untuk mengulang kaji pelajaran sehingga subuh. Otak yang mendapat rehat secukupnya lebih mudah menerima input,” katanya ketika ditemui pada Majlis Keputusan Rasmi Peperiksaan STAM 2023 Melaka di sini, semalam.
Nur Summiyah antara tiga pelajar cemerlang STAM 2023 di Melaka yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang, Nur Athirah Rasyiqah Amel Rasid, 19, berkata, dia tidak menyangka akan memperoleh keputusan Mumtaz kerana hanya menyasarkan Maqbul.
Katanya, perancangan masa sangat penting kerana STAM lebih banyak melibatkan hafalan.
“Nasihat saya kalau boleh setiap kali kelas tamat terus buat nota. Jangan bertangguh sebab STAM ini sangat singkat,” katanya yang merancang menyambung pengajian di Jordan.
Di Kuala Terengganu, seorang pelajar yang juga hafiz 30 juzuk al-Quran, melakar sejarah dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam STAM.
Nik Abdullah Hanif Nik Mohd. Akbari, 19, yang memperoleh sembilan Mumtaz dan satu Jayyid Jiddan, muncul pelajar terbaik STAM 2023 di negeri Terengganu.
Menurutnya, istiqamah dalam mengulangkaji pelajaran serta menjaga hubungan baik dengan keluarga, guru serta rakan-rakan adalah rahsia kecemerlangannya dalam peperiksaan tersebut. – UTUSAN











