SEREMBAN: Angkatan Muda Keadilan (AMK), telah mengaktifkan jentera bagi memastikan keperluan dan persediaan mencukupi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Ketua AMK, Adam Adli Abd. Halim berkata, beliau telah meminta bahagian pilihan raya AMK terutamanya AMK Selangor untuk mengaktifkan jentera tersebut.
“Program-program telah disusun dan kami akan banyakkan program mendekati masyarakat terutamanya golongan muda di Kuala Kubu Baharu selain libatkan banyak pihak lain.
“Ini untuk pastikan menjelang PRK itu nanti kami akan kekalkan prestasi seperti sebelum ini dan kami bantu calon yang bakal bertanding sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Jamaie Perdana AMK di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini.
DUN Kuala Kubu Baharu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong daripada DAP, pada 21 Mac lalu.

Sementara itu, mengulas pendirian diambil AMK mengenai isu kaum, agama dan raja (3R), Adam Adli berkata, sebagai pemimpin pihaknya mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keharmonian dan keselamatan masyarakat.
“Ini bukan lagi soal siapa paling lantang bersuara tetapi siapa yang bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian masyarakat.
“Segalanya kita serah kepada pihak berkuasa kerana negara mempunyai undang-undang. Kita ada masyarakat yang perlu dijaga dan itu pendirian yang kita ambil sejak awal lagi,” katanya lagi.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan turut menafikan bahawa AMK tidak mahu mengulas isu membabitkan isu 3R tersebut.
“Contoh isu stokin terukir kalimah Allah, kami di AMK kecam perbuatan tersebut dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya dan itu semua sudah dilakukan.
“Tetapi kami tidak mahu satu tahap gesaan kami ini menjadi faktor pendorong kepada tindakan di luar batas dan kawalan, kami mengharapkan masyarakat boleh bertenang dan jaga keharmonian.
“Apabila bercakap isu 3R tujuannya adalah untuk pastikan masyarakat tidak bertelagah, jaga sensitiviti elak bertengkar dan tidak berpecah. Kalau kita bersuara hasilnya masyarakat makin bertelagah, suasana dan suhu makin panas dan saya rasa ia tidak membantu, kita kena ukur siapa untung siapa untung rugi,” katanya lagi.-UTUSAN.










