IPOH: Seorang bapa sanggup mengambil cuti dan menjadi maskot untuk mengiringi anaknya pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Tasik Damai hari ini.
Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Mohd. Halim Arafulla berkata, tahun ini merupakan tahun kedua sekolah itu mendatangkan maskot untuk menyambut kedatangan pelajar pada hari pertama persekolahan.
“Ada juga ibu-bapa yang sanggup mengambil cuti dan datang secara sukarela menjadi maskot untuk memberi semangat kepada murid untuk memulakan pembelajaran baharu pada hari ini.
“Macam tahun lepas, kita sudah cuba buat dan ia mendapat respon yang positif daripada ibu bapa di sekitar sini,” katanya kepada pemberita di SK Tasik Damai di sini hari ini.
Menurutnya, pada sesi petang pula bertambah meriah dengan kehadiran murid Tahun 1 yang baharu pertama kali masuk sesi persekolahan.
“Sesi petang bertambah meriah dengan kehadiran lebih kurang 600 murid dari Tahun 1 hingga Tahun 3 termasuk anak-anak prasekolah.
“Kita akan nantikan anak-anak di pintu masuk dan ibu yang memakai maskot ini akan sama-sama menyambut kehadiran mereka” katanya.
Menurut Mohd. Halim, pemakaian maskot adalah untuk memastikan anak-anak seronok dan teruja untuk hadir ke sekolah.
“Apabila mereka tengok ada maskot, mereka akan teruja dan seronok untuk memulakan sesi persekolahan baharu.
“Kalau sebelum kami bawakan watak-watak dalam kartun Disney, untuk tahun yang kedua kami pilih maskot yang tular di media sosial dan popular dalam kalangan murid sekolah rendah pula,” katanya.
Sementara itu, bapa kepada enam orang anak, Syed Azrul Nazuen Sayed Daud, 49, berkata, dia sanggup mengambil cuti selama tiga hari untuk memastikan anak-anaknya bersemangat ke sekolah hari ini.
“Memang setiap tahun saya sukarela menjadi maskot untuk menggalakkan anak-anak bersemangat dan murid-murid yang lain juga teruja untuk hadir ke sekolah.
“Tambahan pula, esok umat Islam akan menyambut puasa, jadi saya ambil cuti tambahan untuk memastikan anak-anak bersedia ke sekolah,” katanya. – UTUSAN









