SEREMBAN: Jualan tiket bas ekspres bagi kesemua destinasi di semenanjung sempna perayaan Aidilfitri dari Pusat Pengangkutan Terminal 1, Seremban di sini sudah terjual sebanyak 10 peratus sebaik sahaja jualannya dibuka pada 15 Mac lalu.
Pengurus Pusat Pengangkutan Terminal 1, Seremban, Mohd. Hafiz Talib berkata, setakat ini antara tiket bas ekspres yang mendapat sambutan adalah bagi destinasi ke Larkin, Johor Bahru, pantai timur serta ke utara seperti Ipoh, Alor Setar dan Pulau Pinang.
“Destinasi kebanyakan penumpang di sini adalah untuk ke Johor khususnya Larkin, di sini kami banyak bas dan trip ke sana. Bagi ke pantai timur pula jumlah syarikat bas yang beroperasi di sini tidak banyak dan memang jualannya memang ‘laju’.
“Kebiasaannya jika orang ramai dari Melaka ataupun sekitar negeri ini yang mahu ke pantai timur, mereka akan Terminal Bersepadu Selatan di ibu negara untuk mendapatkan tiket bas ekspres masing-masing sekiranya di Seremban ini telah habis.
“Bagaimanapun, pihak kami akan cuba dalam masa terdekat untuk membawa beberapa syarikat lain ke Terminal 1, Seremban untuk menambah bilangan bas dan trip perjalanan ke pantai timur,” katanya ketika dihubungi.
Sementara menerusi pemerhatian Utusan Malaysia menerusi sistem pembelian tiket secara dalam talian, www.terminal1.my mendapati jualan tiket bas ekspres ke destinasi pantai timur seperti Kota Bharu telah habis bagi tarikh perjalanan 8 dan 9 April.
Mohd. Hafiz dalam pada itu berkata, pihaknya juga sudah menerima permohonan daripada beberapa buah syarikat bas persiaran bagi pengoperasian bas tambahan yang akan bermula 10 hari sebelum Aidilfitri.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, kerja-kerja naik taraf Pusat Pengangkutan Terminal 1, Seremban di sini berjalan dengan baik termasuk kerja naik taraf fasa pertama tandas di situ.
“Sekarang ini pihak kami sedang menjalankan kerja naik taraf tandas bagi fasa kedua serta surau dan kemudiannya menaik taraf kawasan tempat letak kereta,” katanya lagi.
Pada bulan November tahun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar memberitahu, Pusat Pengangkutan Terminal 1 Seremban akan dinaik taraf.
Kerja-kerja naik taraf yang dijangka mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan itu bagi memberikan pengguna menikmati kemudahan dan fasiliti lebih selesa dan moden serta setaraf dengan terminal pengangkutan di negeri-negeri lain.-UTUSAN.










