Agong berkenan kurnia bantuan beras kepada asnaf

Agong berkenan kurnia bantuan beras kepada asnaf

AZUAN Effendy Zairakithnaini (empat kiri) beramah mesra bersama asnaf yang menerima bantuan beras pada Majlis Penyerahan 25,000 Kampit Beras Kurniaan Yang di-Pertuan Agong di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan berupa 25,000 kampit beras 10 kilogram (kg) kepada golongan yang memerlukan bantuan.

Pengagihan itu dikurniakan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf melalui masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sepanjang Ramadan ini.

Istana Negara dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) menetapkan sebanyak 10 buah masjid dipilih di sekitar Kuala Lumpur bagi urusan pengagihan beras kepada asnaf di sekitar kariah.

Setiap masjid menerima stok beras sebanyak 2,500 kampit.

Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, kurniaan beras itu adalah cetusan hati sanubari Seri Paduka.

“Seri Paduka mengeluarkan duit daripada poket sendiri. Seri Paduka juga bertitah untuk memastikan mereka yang betul-betul layak mendapat beras.

“Seri Paduka begitu prihatin dengan nasib yang menimpa mereka yang kurang berkemampuan khususnya di sekitar Kuala Lumpur. Kita berhadapan dengan dugaan ekonomi yang meleset.

“Atas faktor itu Seri Paduka menzahirkan keprihatinannya dengan berkenan mengurnia sekampit beras kepada setiap asnaf,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Terdahulu, pengagihan beras kepada asnaf akan diagihkan pada setiap Isnin sehingga Jumaat sepanjang bulan Ramadan bermula pukul 8 pagi hingga 2 petang di setiap zon terpilih sekitar Kuala Lumpur.

Rabu lalu, telah berlangsungnya kurniaan bantuan beras pertama di Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Bandar Manjalara, Kepong.

Tambah Azuan Effendy, nilai bantuannya mungkin kecil tetapi ramai yang memerlukan.

Katanya, kurniaan beras itu bukanlah satu-satunya bantuan baginda laksanakan namun akan diperbanyak selepas Ramadan dengan berbaki lapan masjid sekitar Kuala Lumpur.

“Memang menjadi harapan dan keinginan baginda untuk membantu mereka yang susah di sekitar Kuala Lumpur.

“Saya percaya selepas ini kita akan menjalankan lebih banyak program bantuan sebegini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman Sapiah, 56, mengucapkan terima kasih kepada baginda atas bantuan yang diberikan.

“Terima kasih banyak kepada tuanku kerana memberi bantuan beras,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×