2 rakan dipenjara 30 tahun edar 10kg dadah dalam kereta - Utusan Malaysia

2 rakan dipenjara 30 tahun edar 10kg dadah dalam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua rakan kekal menjalani hukuman penjara 30 tahun dan dikenakan 15 sebatan bagi kesalahan mengedar dadah seberat hampir 10 kilogram dalam sebuah kereta, lima tahun lalu.

Perkara itu ditentukan oleh Mahkamah Rayuan selepas menolak rayuan Mohd. Khairul Azwan Zakaria, 37, dan Bhahira Fakri, 43, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman tersebut.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin.

Ketika menyampaikan keputusan itu, Hakim Hadhariah berkata, kegagalan memanggil pemilik kereta (Honda Accord) memberi keterangan, tidak mewujudkan lompang dalam kes pendakwaan.

Mahkamah berpuas hati, kesan asid deoksiribonukleik (DNA) kedua-dua perayu terdapat pada kain mereka yang berada dalam but kereta berkenaan.

“Ini bermakna, perayu-perayu ada akses pada kereta itu dan dadah juga tidak tersembunyi, lebih-lebih lagi perayu-perayu telah melarikan diri semasa ingin ditangkap polis.

“Mengikut rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), kereta tersebut telah digunakan oleh perayu-perayu selama dua hari. Oleh itu, kegagalan memanggil pemilik kereta tidak boleh membangkitkan inferens bertentangan terhadap kes pendakwaan,”

Sementara itu, berhubung isu terputusnya rantaian keterangan, Hakim Hadhariah berkata mahkamah berpendapat, isu itu tidak timbul kerana barang-barang kes telah dibuat tandaan dan tidak ada pertikaian mengenai perkara tersebut.

“Oleh itu, sabitan adalah selamat, rayuan perayu-perayu ditolak manakala sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata hakim itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN