KUANTAN: Syarikat-syarikat konsesi lebuh raya dicadang memberikan diskaun tol kepada semua pengguna jalan raya sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina, 10 Februari ini.
Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) berpandangan diskaun itu perlu diberikan memandangkan kira-kira dua juta kenderaan akan menggunakan semua rangkaian lebuh raya sempena cuti perayaan tersebut.
Presiden YPNM, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, ramai pengguna lebuh raya khususnya masyarakat Cina akan mengambil kesempatan ini untuk bercuti dan pulang ke kampung halaman bermula 9 Februari ini.
“YPNM mencadangkan konsesi lebuh raya memberikan diskaun tol kepada semua pengguna pada musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.
“Ini kerana konsesi lebuh raya harus memberi satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada pengguna lebuh raya yang selama ini menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan syarikat terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Firdaus berkata, YPNM juga meminta syarikat-syarikat konsesi sentiasa menjaga dan memelihara lebuh raya supaya sentiasa berada dalam keadaan selamat.
“Kita juga minta syarikat konsesi memberi perkhidmatan terbaik daripada segi penambahan laluan plaza tol serta khidmat bantuan kecemasan dan keselamatan.
“YPNM juga berharap konsesi lebuh raya, Lembaga Lebuh Raya Malaysia, Jabatan Keselamatan Jalan Raya akan turun padang memantau keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya,” katanya. – UTUSAN










