Wujudkan peruntukan khas salah laku pejabat awam

Wujudkan peruntukan khas salah laku pejabat awam

rasuah
Peruntukan Salah Laku Penjawat Awam diyakini mampu menangani pelbagai kes salah laku penjawat awam dengan lebih pantas. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mewujudkan satu peruntukan perundangan khas untuk menangani gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam dengan lebih cepat dan berkesan.

Peruntukan itu sebagaimana dilaksanakan di Brunei dan Hong Kong yang dikenali ‘misconduct public office’ atau ‘salah laku pejabat awam’ terkandung di bawah Akta Pencegahan Rasuah di kedua-dua negara terbabit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (Pakar), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata, bagi negara ini, peruntukan berkenaan boleh diletakkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

KERUGIAN

Menurutnya, dengan adanya peruntukan undang-undang itu, maka sesiapa yang membuat keputusan melibatkan hal kerajaan sehingga mendatangkan kerugian atau wujud salah laku boleh diambil tindakan.

“Tindakan undang-undang bukan sahaja boleh diambil melibatkan kesalahan tata tertib pesalah.

“Peruntukan salah laku pejabat awam ini dilihat mampu untuk menangani isu yang dikenal pasti dalam audit negara,” katanya ketika dihubungi.

Terbaharu, skor yang diperoleh Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 meningkat kepada 50 mata sekali gus meletakkan negara ini di ranking ke-57 daripada 180 negara seluruh dunia.

Menurut Presiden Transpa­rency International Malaysia (TI-M), Dr. Muhammad Mohan, antara faktor peningkatan tersebut disebabkan peranan SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam mendakwa dua bekas Perdana Menteri dalam kes membabitkan rasuah.

Dalam pada itu, ujar Shamshun Baharin, orang ramai terutamanya dalam sektor perkhidmatan awam disarankan untuk berganding bahu bagi menyasarkan skor negara yang lebih baik dalam CPI untuk 10 tahun akan datang.

Katanya, bagi mencapai sasaran tersebut, masalah seperti isu berkaitan tatakelola, integriti dan birokrasi perlu ditangani dahulu.

Kata beliau, walaupun isu berkaitan rasuah mungkin diutamakan sesetengah sektor perkhidmatan, namun jika tiada penyelesaian yang diambil bagi masalah-masalah yang lain timbul dalam organisasi maka gejala rasuah akan sukar dibendung.

“Justeru itu, semua agensi atau perkhidmatan awam tidak boleh mengharapkan SPRM untuk menangani isu ini.

“Ini kerana pada permulaannya perkara ini bukannya di bawah kuasa SPRM, kerana ia merupakan tanggungjawab organisasi itu sendiri untuk membuat penambaikan terhadap isu yang telah dikenal pasti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN