Warga asing kemalangan lepas curi motosikal dipenjara 19 bulan

Warga asing kemalangan lepas curi motosikal dipenjara 19 bulan

SEORANG lelaki warga asing dijatuhkan hukuman penjara 19 bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Bahau di sini selepas didapati bersalah mencuri motosikal dan tinggal lebih masa di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang lelaki warga asing dijatuhkan hukuman penjara 19 bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Bahau di sini selepas didapati bersalah mencuri motosikal dan tinggal lebih masa di negara ini.

Tertuduh, Asmadi, 38, warganegara Indonesia membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.

Norshazwani menetapkan hukuman setahun penjara dari tarikh ditangkap serta denda  RM2,000 bagi pertuduhan mencuri motosikal dan sekiranya gagal menjelaskan bayaran denda, dihukum penjara dua bulan.

Bagi pertuduhan tinggal lebih masa pula, tertuduh dijatuhkan hukuman tujuh bulan penjara dari tarikh ditangkap.

Berdasarkan pertuduhan pertama, warga asing berkenaan mencuri sebuah motosikal jenis Honda EX5 warna biru milik seorang wanita berusia 35 tahun pada 3 Februari lalu kira-kira pukul 12.30 tengah hari di Blok 6, Felda Palong 14, Gemas.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, iaitu penjara tidak lebih tujuh tahun dan juga denda.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah mengalihkan motosikal berkenaan semasa berada di rumah dan kejadian tersebut dilihat suami wanita tersebut.

Wanita tersebut, suami serta dua rakan mengejar tertuduh sehingga ke Felda Palong 8 dan kemudiannya melihatnya terjatuh dalam keadaan tertiarap tidak sedarkan diri di jalan kebun getah.

Motosikal yang dicuri pula sudah dalam keadaan terbalik dalam jarak tiga meter dari tertuduh.

Bagi pertuduhan kedua pula, pada 16 Februari, kira-kira pukul 12 tengah hari di wad Hospital Jempol, tertuduh didapati telah menggunakan passport yang telah tamat tempoh pas lawatan pada 6 Januari tahun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) (Pindaan 2002) dan dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farahidah Zool Beri manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN