UNHCR terkejut, sedih kematian tragis tahanan - Utusan Malaysia

UNHCR terkejut, sedih kematian tragis tahanan

ANGGOTA RELA menjalankan operasi mengesan tahanan yang lolos dari Depoh Imigresen Sementara Bidor di Kampung Sungai Kenoh, Tapah. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) terkejut dan sedih dengan kematian tragis dua tahanan yang melarikan dari daripada Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor, Perak, minggu lalu.

Menurut UNHCR, apa yang lebih membimbangkan adalah jika terdapat pelarian dan pemohon suaka yang memerlukan perhatian mereka.

“Memandangkan kami masih belum diberi kelulusan oleh pihak berkuasa imigresen serta akses untuk bertemu dengan semua tahanan sejak Ogos 2019, ini secara tidak langsung menyebabkan UNHCR tidak dapat menentukan sama ada individu yang ditahan itu memerlukan perlindungan antarabangsa atau sebaliknya.

“UNHCR akan terus berusaha dan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen serta agensi berkaitan bagi mendapatkan akses segera kepada mereka yang mungkin memerlukan perlindungan kami,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, media melaporkan, seramai 131 warga asing melarikan diri dari blok lelaki depot itu merangkumi 115 etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.

Setakat, petang semalam, seramai 98 tahanan telah berjaya ditangkap dengan 31 orang masih diburu.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, UNHCR bersedia menyokong kerajaan membangunkan alternatif kepada tahanan di depoh Imigresen khususnya untuk pelarian dan pemohon suaka termasuk kanak-kanak dan warga tua.

Katanya, pemohon suaka bukanlah satu tindakan yang menyalahi undang-undang dan menempatkan mereka di tahanan harus menjadi jalan terakhir.

“Apa yang penting ialah menyediakan rangka kerja komprehensif, berkesan dan berperikemanusiaan untuk menguruskan situasi pelarian dan pencari suaka di negara ini. “Kami komited sepenuhnya dalam kerjasama berterusan dengan kerajaan untuk mencari cara sesuai untuk mengurus situasi pelarian dengan lebih baik dan menyediakan akses kepada suaka bagi mereka yang memerlukan perlindungan antarabangsa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×