BENTONG: UMNO Bahagian Bentong mengalu-alukan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, pihaknya menjunjung kasih atas perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Amizar.
Katanya, UMNO Bahagian Bentong juga berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana menamakan Amizar bagi menggalas jawatan tersebut.
“UMNO Bahagian Bentong yakin Datuk Amizar mampu menggalas tugas diamanahkan bukan sahaja demi manfaat rakyat di Pelangai malah di seluruh negeri ini.
“Ia juga bagi menerusi legasi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang sebelum ini ADUN Pelangai dan Exco,” katanya di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah hari ini berkenan menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco Baharu di Istana Abdulaziz.
Pada istiadat itu, baginda bertitah agar semua Exco dapat menjalankan segala tugas dengan baik dan ikhlas untuk memajukan negeri ini, membantu rakyat miskin serta menegakkan syiar Islam.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, pertukaran ini bertujuan memperkemas dan memantapkan lagi pentadbiran kerajaan negeri dalam membantu rakyat.
“Yang pastinya ada perubahan sedikit portfolio tujuannya untuk memperkemaskan dan memantapkan lagi pentadbiran kerajaan negeri agar ia lebih berkesan,” katanya. – UTUSAN










